Pasaran wafer silikon diramal terus catat pemulihan dipacu pertambahan kemudahan fabrikasi semikonduktor, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Pasaran wafer silikon diramal terus catat pemulihan dipacu pertambahan kemudahan fabrikasi semikonduktor, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - TA Securities meramalkan pasaran wafer silikon terus mencatatkan pemulihan dipacu pertambahan kemudahan fabrikasi semikonduktor baharu serta peningkatan permintaan.

 

Katanya, menurut Silicon Manufacturers Group (SMG), penghantaran wafer silikon di seluruh dunia melonjak 7.1% dari suku tahun ke suku tahun pada suku kedua 2024, didorong permintaan kukuh terhadap produk yang dikaitkan dengan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) generatif.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada Jun 2024, semikonduktor global meneruskan trajektori menaiknya dengan mencatatkan satu lagi pertumbuhan jualan yang baik.

 

Menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), jualan semikonduktor global pada bulan itu berjumlah AS$50 bilion berbanding Mei 2024 sebanyak AS$49.1 bilion.

 

"Ia menandakan pemulihan jualan untuk bulan kelapan berturut-turut, manakala dari bulan ke bulan, ia meningkat untuk bulan keempat berturut-turut. 

 

"Ini seterusnya mengesahkan bahawa pasaran semikonduktor global berada dalam kitaran menaik pada masa ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'overweight' terhadap industri semikonduktor.

 

Katanya, potensi berakhirnya kitaran kenaikan kadar di Amerika Syarikat pada September ini akan menjadi petanda baik untuk penilaian sektor itu.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu menaikkan penarafan Unisem (M) Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Elsoft Research Bhd daripada 'pegang' kepada 'beli' dan mengekalkan saranan 'beli' untuk Inari Amertron Bhd.- DagangNews.com