PETALING JAYA 23 Feb - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengadakan siasatan untuk mengenal pasti punca kenderaan berbaris panjang di dua lorong RFID seperti yang tular di platform media sosial pada 21 Feb 2022.
Hasil siasatan mendapati bahawa kesesakan tersebut berpunca daripada beberapa pelanggan yang menggunakan lorong RFID tidak mempunyai baki yang cukup dan pada masa yang sama telah menambah nilai e-dompet mereka secara dalam talian di lorong tol di antara 8 pagi hingga 8.59 pagi iaitu waktu puncak.
PLUS memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan mengambil langkah segera membantu pelanggan yang menghadapi masalah agar tidak menghalang laluan kenderaan lain.
Orang ramai juga digesa agar sentiasa mematuhi SOP semasa berinteraksi dengan kakitangan PLUS bagi menjaga keselamatan dan kesihatan semua.
Untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pelanggan lebuh raya RFID diingatkan supaya sentiasa menyemak baki eWallet dan Kad Touch 'n Go untuk transaksi samaada menggunakan RFID, Kad Touch n' Go dan SmartTAG untuk kemudahan dan keselesaan perjalanan di lebuh raya. - DagangNews.com