Pastikan terima notifikasi MySejahtera sebelum bawa OKU ke PPV, pesan Ras Adiba | DagangNews Skip to main content

Pastikan terima notifikasi MySejahtera sebelum bawa OKU ke PPV, pesan Ras Adiba

Vaksinasi OKU. Gambar oleh JKJAV

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Orang Kurang Upaya (OKU) perlu mendapatkan notifikasi daripada aplikasi MySejahtera sebelum hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu di Ara Damansara.

 

Memberi peringatan tersebut, Pengerusi OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, perkara tersebut penting bagi mengelak berlakunya sebarang masalah sewaktu hadir ke PPV berkenaan.

 

"Masalah yang kami hadapi adalah ada yang datang tanpa mendapat notifikasi di MySejahtera. Itu susah sedikit.

 

"Saya perlu ingatkan semua orang bahawa amatlah penting untuk anda membuat pendaftaran supaya tidak bermasalah untuk masuk (ke PPV) nanti.

 

"Pastikan anda mendapat notifikasi dari aplikasi MySejahtera, barulah tunjukkan kad OKU dan yang tidak ada kad OKU, boleh bawa laporan doktor," jelasnya dalam satu video ringkas ketika membuat tinjauan hari kedua proses vaksinasi OKU secara pandu lalu bertempat di Ara Damansara semalam.

 

 Tangkap layar video yang dimuat naik Ras Adiba ketika membuat tinjauan hari kedua vaksinasi OKU di PPV pandu lalu, Ara Damansara semalam.
Tangkap layar video yang dimuat naik Ras Adiba ketika membuat tinjauan hari kedua vaksinasi OKU di PPV pandu lalu, Ara Damansara semalam.

 

Peringatan tersebut dibuat setelah mendapati ramai yang hadir membawa OKU tanpa menerima notifikasi daripada aplikasi MySejahtera.

 

PPV pandu lalu bagi golongan OKU itu diwujudkan dengan kerjasama OKU Sentral, Pusat Perubatan Ara Damansara, Sime Darby Plantation Berhad dan agensi kerajaan lain.

 

Usaha berkenaan turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Dalam video yang sama, beliau turut berpesan kepada OKU yang bakal hadir ke PPV berkenaan untuk memastikan kesahihan hari dan waktu vaksinasi.

 

"Sesiapa yang akan datang nanti, periksa waktu pukul berapa dan pastikan hari itu adalah hari yang betul untuk anda mendapatkan vaksinasi," jelas beliau lagi. - DagangNews.com