Pasukan UiTM duduki tangga teratas di pusingan akhir Universiti e-League | DagangNews Skip to main content

Pasukan UiTM duduki tangga teratas di pusingan akhir Universiti e-League

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Selepas tiga hari persaingan sengit e-bola sepak menerusi Universiti e-League (UEL), dua pemain dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya mencapai tempat teratas untuk bertanding di peringkat akhir yang akan diadakan pada 11 Disember 2022. 

 

Zarif Ilman Norjafree dari Void Gaming Lab yang merupakan salah seorang finalis permainan FIFA 22’ mewakili UiTM Pahang berkata, bertanding dalam UEL dan mencapai sejauh ini dalam pertandingan merupakan pengalaman yang luar biasa baginya.

 

"Saya bersyukur kerana mempunyai peluang untuk mempamerkan kebolehan saya di kalangan bakat-bakat terunggul e-sukan di negara ini. 

 

"Walaupun saya amat bangga dengan kejayaan saya mara ke pusingan terakhir Grand Final, saya lebih teruja untuk berkongsi pentas ini dengan rakan-rakan universiti saya. Walau apa pun, saya pasti yang kami akan membanggakan nama UiTM dan berharap akan mendapat sokongan daripada rakan-rakan pelajar kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, berikutan pelancaran musim ketiga baru-baru ini, UEL membuka pertandingan dengan permainan yang pertama daripada empat siri permainan iaitu FIFA 22’. 

 

Pusingan ini menyaksikan 50 pelajar mewakili universiti mereka untuk bersaing dalam pusingan kelayakan dan playoff bagi memperolehi tempat teratas di pusingan terakhir Grand Final yang akan diadakan bulan depan. 

 

Dalam minggu-minggu akan datang, UEL juga bersedia untuk membawa lebih banyak keseronokan dan hiburan dengan penyaksian lebih 200 pasukan universiti yang akan bersaing dalam permainan seperti VALORANT, Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG Mobile. 

 

Pertandingan UEL FIFA 22’ Playoff yang berlangsung hujung minggu lalu menyaksikan penyertaan daripada pasukan-pasukan universiti termasuk Universiti Multimedia (MMU), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Swinburne dan UiTM antara yang lain. 

 

Minggu ini, UEL mara ke pusingan Kelayakan dan Playoff untuk permainan VALORANT, dan akan diikuti dengan permainan Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG Mobile yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu berikutnya. 

 

Lebih 200 pasukan e-sukan universiti telah mendaftar untuk menyertai kejohanan dan banyak lagi aksi e-sukan yang dijangka akan muncul antara pasukan-pasukan ini. 

 

Pelajar-pelajar, peminat e-sukan dan peminat pertandingan ini dialu-alukan untuk menonton dan menyokong universiti mereka dalam pertandingan akan datang. 

 

Pertandingan Playoff UEL akan disiarkan secara langsung pada setiap hari Sabtu dan Ahad berturut-turut mulai sekarang hingga 20 November 2022, manakala pusingan Grand Final akan berlangsung pada 10 dan 11 Disember 2022 melalui halaman Facebook UEL. - DagangNews.com