PATAMI Cahya Mata Sarawak pada separuh pertama dalam jangkaan, Maybank IB kekalkan unjuran pendapatan | DagangNews Skip to main content

PATAMI Cahya Mata Sarawak pada separuh pertama dalam jangkaan, Maybank IB kekalkan unjuran pendapatan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Cahya Mata Sarawak Berhad pada separuh pertama 2023 (1H23) dalam jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB) pada 49% sementara di bawah jangkaan konsensus sebanyak 39%.

 

Maybank IB berkata ia tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan sementara menunggu taklimat keputusan pada awal September.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.47 sesaham daripada RM1.48 berdasarkan nisbah harga-pendapatan (PER) FY24 pada 10 kali, -0.5SD (sisihan piawai) daripada min jangka panjang.

 

“Kami sebelum ini menilai Cahya Mata Sarawak pada PER 7.5 kali ditambah hasil tunai daripada pelupusan OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd dan OM Materials (Samalaju) Sdn Bhd [OMS] tetapi tidak lagi bermakna memandangkan wang tunai tersebut akan digunakan untuk rangkaian klinker baharu berharga kira-kira RM750 juta. CMS kekal sebagai proksi kepada aktiviti pembinaan yang lebih tinggi di Sarawak,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, Cahya Mata Sarawak telah mencatatkan penurunan PATAMI sebanyak 38% suku ke suku (QoQ) pada RM26 juta, menjadikan PATAMI 1H23 berjumlah RM69 juta, susut 38% tahun ke tahun (YoY).

 

“Sebahagian besar pendapatan 2Q lebih rendah berbanding 1Q adalah disebabkan oleh pendapatan simen yang lebih rendah dan MI positif pada 1Q. Walaupun hasil simen adalah QoQ mendatar, keuntungan sebelum  cukai (PBT) jatuh 42% disebabkan margin yang lebih rendah (turun 9.6 mata peratusan kepada 13.9%).

 

“Bagi 1H, keuntungan bersekutu tidak diiktiraf daripada OMS selepas ia dijual pada Disember 2022, dan kerugian yang lebih tinggi pada operasi fosfat akibat kos pentauliahan selepas siap pembinaan, menyumbang kepada kejatuhan 38% YoY dalam PATAMI kumpulan,” katanya.

 

Di samping itu, Maybank IB berkata tunai bersih turun disebabkan had kerja, di mana baki tunainya lebih rendah pada akhir Jun 2023 berjumlah RM605 juta berbanding RM965 juta pada akhir 2022 – penurunan disebabkan ia digunakan untuk modal kerja.

 

“Hutang kasar turun sedikit kepada RM508 juta daripada RM538 juta setakat akhir 2022. Akibatnya, kedudukan tunai bersih Cahya Mata Sarawak turun kepada RM97 juta daripada RM428 juta pada akhir 2022. Pelaburan dalam sekuriti stabil pada RM257 juta (RM244 juta pada akhir 2022),” tambahnya.

 

Maybank IB berkata unjurannya terhadap kerugian sebanyak RM58 juta untuk operasi fosfat pada FY23 menganggap permulaan operasi komersial pada pertengahan 2023. Pada 1H23, operasi tersebut telah menyebabkan kerugian sebanyak RM56 juta.

 

Sementara itu, katanya, operasi komersial masih belum mula menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

 

Pada waktu penulisan, saham Cahya Mata Sarawak turun 4 sen atau 3.4% kepada RM1.13 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.2 bilion.  - DagangNews.com