Pavilion REIT diunjur terus catat perkembangan positif kesan pembukaan semula ekonomi - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Pavilion REIT diunjur terus catat perkembangan positif kesan pembukaan semula ekonomi - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - RHB Research mengunjurkan Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT) terus mendapat manfaat daripada pertambahan kehadiran pengunjung ekoran pemulihan sektor ekonomi dan peningkatan jualan runcit daripada musim perayaan sebelum ini.

 

Firma itu berkata, pada 2QFY22, Pavilion REIT merekodkan untung teras sebanyak RM55 juta menjadikan jumlah pendapatan mereka bagi 1H22 sebanyak RM120 juta.

 

"Kami berpendapat pemulihan sedang berjalan dengan baik dengan hasil dan keuntungan teras seperti tahap pra pandemik pada 95% dan 94% daripada 2Q19," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pendapatan suku kedua kumpulan itu adalah sejajar dengan konsensus walaupun suku tahun lebih perlahan disebabkan cuti perayaan dan kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi didorong  pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

 

"Walaupun masih belu mencapai tahap pra pandemik, keadiran orang ramai ke Pavilion dijangka terus meningkat dengan kehadiran pelancong semakin bertambah daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya.

 

Pavilion REIT melaporkan kadar penghunian untuk Pavilion Kuala Lumpur menurun sedikit daripada 90.6% kepada 89.7% pada bulan Jun 2022 walapun ia dilihat bersifat sementara.

 

Firma itu berkata, keadaan pada 1H22 adalah positif pada 2% hingga 3% dan REIT menyasarkan kira-kira 92% penghunian pada 2H22.

 

Sementara itu, REIT telah mengumumkan bahawa perbincangan untuk membeli Pavilion Bukit Jalil sedang berlangsung walaupun tiada tempoh untuk pengambilalihan diberikan.

 

Di Vietnam, Pusat Beli-belah Da Men REIT mencatatkan kerugian hartanah bersih sebanyak RM2.91 juta pada suku kedua tetapi pengurusan berharap ia akan kembali mencatatkan keuntungan pada tahun hadapan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Pavilion REIT dengan harga sasaran (TP) RM1.50. - DagangNews.com