Pawagam GSC dibuka 16 Sept, TGV pada 23 September ini bagi yang lengkap 2 dos vaksin | DagangNews Skip to main content

Pawagam GSC dibuka 16 Sept, TGV pada 23 September ini bagi yang lengkap 2 dos vaksin


KUALA LUMPUR 14 Sept - Dua pengendali pawagam terbesar di Malaysia iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan  TGV, mengumumkan pembukaan semula premis hiburan itu kepada individu yang lengkap divaksin, masing-masingnya bermula 16 dan 23 September ini. 

 

GSC akan membuka 17 cawangannya serta Aurum Cinemas di Lembah Klang, wilayah Utara dan Selatan pada Khamis ini sempena sambutan Hari Malaysia. 

 

Sementara TGV menetapkan 23 September sebagai tarikh pembukaan pawagamnya, kata Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran TGV Cinema Mohit Bhargava dalam kenyataan.

 

''Keputusan dibuat selepas berunding dengan studio untuk mendapatkan kelulusan badan penapis tempatan bagi filem mereka. 

 

"Selain itu, fokus utama kami ialah keselamatan dan sekuriti semua kakitangan serta pelanggan dan bagi memastikan pembukaan semula pawagam kami mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP), TGV kini mengambil setiap langkah pencegahan yang perlu dan tidak akan tergesa-gesa membuka semula premis hiburan tersebut,” kata Mohit.

 

Penonton pasti boleh menjangkakan barisan filem menarik yang bakal ditayang sempena pembukaan semula pawagam itu termasuk Black Widow yang dibintangi Scarlett Johansson, Jungle Cruise (Dwayne Johnson) dan No Time To Die (Daniel Craig) pada September ini. 

 

 

tgv
Syarat memperoleh vaksin yang ditetapkan oleh TGV

 

 

Pawagam di negeri di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara telah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50% bermula 9 Sept lepas dan hanya individu yang melengkapkan vaksinasi COVID-19 dibenar memasuki premis hiburan itu. - DagangNews.com