Kebangkitan semula Forest City menerusi SFZ bakal memangkin pembangunan Johor - Iskandar Investment   | DagangNews Skip to main content

Kebangkitan semula Forest City menerusi SFZ bakal memangkin pembangunan Johor - Iskandar Investment  

Gambar Forest City
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Sept - Penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dilakukan tepat pada masanya ketika Johor bersedia memanfaatkan infrastruktur dan lokasinya yang strategik dalam mengukuhkan peranan sebagai hab kewangan dan ekonomi di Asia Tenggara.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, beliau teruja dengan Zon Kewangan Khas itu dan potensinya untuk memacu pertumbuhan rantau ini di samping mengukuhkan hubungan Johor dengan Singapura.

 

"Kami amat teruja dengan pelancaran SFZ Forest City, yang dijangka menarik pelaburan nilai tinggi melalui pelbagai insentif menarik seperti kadar cukai korporat konsesi dari 0% hingga 5%, kadar cukai pendapatan rata 15% untuk pekerja berpengetahuan, dan proses imigresen yang pantas. 

 

"Kami menjangkakan faedah-faedah ini akan menjadikan Johor sebuah destinasi yang sangat menarik untuk syarikat multinasional dan institusi kewangan global, memacu pewujudan pekerjaan dan pertumbuhan dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, teknologi dan logistik. 

 

"SFZ Forest City akan menjadi pengubah keadaan, menyemarakkan pembangunan ekonomi yang mampan, memupuk inovasi, dan meningkatkan kerjasama rentas sempadan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

iib
IDZHAM MOD HASHIM

 

Sementara itu, kata kenyataan IIB itu, kebangkitan semula Forest City yang ditunggu-tunggu melalui SFZ juga dijangka terus memangkin trajektori pembangunan Johor. 

 

Katanya, berdekatan dengan Singapura, salah satu pusat kewangan terulung dunia, mengukuhkan lagi daya tarikan Johor kepada pelabur global dan meletakkannya sebagai pemain Utama dalam ekonomi serantau. 

 

"SFZ akan menjadi pengubah keadaan yang membuka peluang kepada perniagaan tempatan di samping meningkatkan daya saing serantau dan antarabangsa Johor.

 

"IIB melihat perkembangan ini sebagai peluang menarik bagi Iskandar Puteri, di mana kami memainkan peranan strategik sebagai pemaju induk," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Forest City SFZ dilancarkan dengan cukai sifar ke atas firma pengurusan individu kaya

 

Tambah IIB, Iskandar Puteri yang berdekatan dengan Forest City menjadikannya sebagai lokasi ideal untuk memperoleh manfaat secara langsung daripada limpahan ekonomi inisiatif ini.

 

"Dengan projek sedia ada kami yang menarik, seperti Tech Medini dan GBS Iskandar @ Medini, Iskandar Puteri sudah pun berkembang maju sebagai hab untuk teknologi dan inovasi. 

 

"SFZ Forest City akan melengkapkan usaha ini dengan menarik gelombang perniagaan baharu, meningkatkan permintaan untuk ruang komersial berkualiti tinggi, dan memacu pelaburan seterusnya dalam infrastruktur. 

 

"Ini akan mempercepatkan transformasi Iskandar Puteri kepada daerah perniagaan bertaraf dunia dan pusat pekerjaan berkemahiran tinggi," ujarnya.

 

Kata IIB lagi, di samping itu, projek infrastruktur Johor yang akan datang - termasuk Sistem Transit Pantas (RTS), Transit Pantas Autonomi (ART), dan potensi pemulihan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) - akan mempertingkatkan kesalinghubungan antara SFZ, Iskandar Puteri dan Singapura. 

 

"Rangkaian pengangkutan ini akan melonjakkan lagi daya tarikan Iskandar Puteri kepada pelabur dan perniagaan global, menjadikannya destinasi yang  lebih mudah diakses dan berdaya saing.

 

"Contoh global zon ekonomi yang serupa, seperti zon perdagangan bebas (FTZ) Dubai dan daerah kewangan UAE, mempamerkan potensi besar hab kewangan yang terletak secara strategik. 

 

"Dubai Multi Commodities Centre (DMCC), khususnya, telah menjadi kayu ukur kepada kejayaan, menarik pelbagai rangkaian luas industri daripada perdagangan berlian kepada sektor baru muncul seperti Kenderaan Elektrik (EV)," katanya.- DagangNews.com