Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan berganding bahu atasi keciciran pembelajaran | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan berganding bahu atasi keciciran pembelajaran

Program pemulihan pembelajaran akan dilaksanakan kerajaan melalui kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan. -Gambar KPM
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Sept - Kerajaan Malaysia sedang melaksanakan program pemulihan pembelajaran bagi meningkatkan taraf hidup rakyat melalui kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan sejajar dengan salah satu kerangka Ekonomi MADANI iaitu meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

 

Program Anak Kita bertujuan menangani masalah keciciran di negara ini dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seiring pendekatan keseluruhan negara atau “whole-of-nation” yang diiltizamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim.

 

Program pemulihan pembelajaran ini memberi tumpuan terhadap meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, mempertingkatkan kadar kelulusan SPM, dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan. 

 

Ia dikelolakan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Yayasan Hasanah, dan akan diluncurkan pada hari Jumaat, 27 September 2024.

 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia, melalui penyelarasan dengan agenda pendidikan global seperti Matlamat Pembangunan Lestari 4 (Pendidikan Berkualiti) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG4) dan konsep Malaysia MADANI, yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan kreativiti.

 

fadh
FADHLINA SIDEK

 

Berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan (LP), pada tahun 2023, daripada 395,870 calon yang berdaftar, 10,160 atau 2.65 peratus tidak hadir untuk peperiksaan ini. Daripada jumlah pelajar yang menduduki pada tahun yang sama, 6.5 peratus daripada jumlah calon, bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka.

 

“KPM pada waktu ini sedang giat melaksanakan inisiatif reformasi pendidikan yang antara lain bertujuan untuk menangani isu keciciran pembelajaran.  Ini dilaksanakan menerusi enam hala tuju utama termasuk penyelarasan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum,” kata Fadhlina.

 

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendidikan ialah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara. 

 

Katanya, memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia adalah kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.

 

AMIR
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

“Kerajaan komited membina masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.

 

“Melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat Kerajaan Malaysia dalam usaha pembasmian kemiskinan di negara ini,” katanya.

 

Gabungan kedua-dua kementerian juga menyatukan organisasi korporat, pertubuhan masyarakat sivil, universiti awam, syarikat berkaitan kerajaan, serta organisasi antarabangsa, yang sama-sama berganding bahu mengikut kepakaran dan pengkhususan masing-masing untuk menangani keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

 

Program pemulihan pembelajaran yang akan dilaksanakan merangkumi intervensi yang disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital. - DagangNews.com