Pesona Metro raih kontrak pembinaan superstruktur RM321 juta daripada Sime Darby Property | DagangNews Skip to main content

Pesona Metro raih kontrak pembinaan superstruktur RM321 juta daripada Sime Darby Property

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Sept - Pesona Metro Holdings Berhad (PMHB) meraih kontrak pembinaan supestruktur bagi projek perumahan bertingkat bernilai RM321.1 juta daripada Sime Darby Property (Golfhome) Sdn Bhd.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, PMHB berkata, anak syarikat milik penuhnya, Pesona Metro Sdn Bhd menerima surat anugerah itu bertarikh 24 September 2024 bagi pelaksanaan dan penyelesaian kerja-kerja superstruktur.

 

"Cadangan pembangunan terdiri daripada tiga blok kondominium melibatkan 150 unit termasuk tempat letak kereta dan kemudahan penduduk di atas sebahagian Lot 480536, Jalan Bukit Kiara 1, Kuala Lumpur," katanya hari ini.

 

Sime Darby Property (Golfhome) Sdn Bhd adalah pemaju hartanah untuk projek berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pesona Metro raih kontrak bernilai RM180.8 juta bina Ibu Pejabat FINAS

 

Menurut PMHB, projek ini akan berlangsung selama 27 bulan bermula dari tarikh permulaan, iaitu 11 Oktober 2024.

 

"Anugerah projek ini tidak akan memberi sebarang impak kepada modal saham dan struktur pemegangan saham Syarikat. 

 

"Namun, ia dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan meningkatkan aset bersih Kumpulan sepanjang tempoh projek," jelasnya. - DagangNews.com