PCG catat untung 3 kali ganda lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

PCG catat untung 3 kali ganda lebih tinggi

 

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Untung bersih Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 melonjak 3 kali ganda kepada RM1.46 bilion berbanding RM506 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Prestasi yang sangat kukuh itu sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan harga minyak mentah dan petrokimia yang didorong oleh pemulihan permintaan global serta gangguan bekalan.

 

Bagi tempoh itu juga, PCG mencatat pendapatan berjumlah RM4.68 bilion berbanding RM3.89 bilion bagi tempoh sama 2020 berikutan kenaikan ketara dalam harga purata produk, disokong oleh permintaan tinggi dan persekitaran bekalan yang ketat.

 

Malah, hasil penyebaran produk yang lebih tinggi meningkatkan margin Perolehan Sebelum Faedah, Percukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) kepada 36% berbanding 20% pada suku pertama 2020.

 

EBITDA pada suku itu juga meningkat kepada RM1.7 bilion berbanding suku pertama 2020, RM764 juta) sejajar dengan pemulihan margin. 

 

Operasi kekal kukuh pada suku pertama 2021 dengan jumlah jualan setanding suku pertama 2020, dengan kadar penggunaan loji 90% (suku pertama 2020: 94%) disebabkan beberapa aktiviti penyelenggaraan loji dan pemulihan statutori.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah berkata, selain daripada peningkatan harga minyak mentah, harga purata produk turut melonjak naik melebihi jangkauan, sekitar 20% ke 30% disebabkan oleh bekalan produk yang ketat berpunca daripada ribut salji di Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu.

 

"Keadaan ini memberi kelebihan margin kepada kami menerusi semua segmen produk, termasuk produk daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mengenai prospek PCG, Sazali berkata, walaupun pasaran sedang melonjak, tetapi harga produk telah mulai sederhana disebabkan permintaan yang semakin kembali normal. 

 

"Memandangkan permintaan produk kami yang memberangsangkan, kami optimis untuk mencapai prestasi yang lebih baik tahun ini. 

 

"Namun, kami tetap berhati-hati memandangkan peningkatan semula penyebaran global wabak COVID-19, kami akan kekal berwaspada dengan perubahan dalam pasaran," jelas beliau.

 

Menurutnya, tahun ini, PCG akan memberi fokus untuk mengekalkan kecemerlangan operasi, kerana beberapa loji pengeluaran kumpulan di seluruh Malaysia telah dijadualkan untuk menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori. 

 

Katanya, dengan selesainya aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori di loji Methyl Tertiary Butyl Ether/Propane Dehydrogenation (MTBE/PDH) di Kuantan dan Loji Metanol 1 di Labuan secara lancar pada  Mei, PCG menjangkakan yang selebihnya akan berjalan dengan baik juga pada separuh kedua tahun ini. 

 

"Mengenai pasaran, kami lebih bersedia untuk menghadapi perubahan dalam pasaran dengan pengalaman kami menguruskan gangguan bekalan global tahun lalu," katanya.

 

Sazali berkata, dengan mengambil peluang pelaburan dalam kedua-dua bahan kimia asas dan khusus akan terus menjadi keutamaan walaupun menghadapi cabaran dalam pasaran. 

 

Mengenai perkembangan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pula, jelas beliau, PCG sedang bersedia untuk memulakan operasi PIC sepenuhnya pada separuh kedua 2021. - DagangNews.com