PEB komited selesaikan pengambilalihan reNIKOLA Holdings tahun depan | DagangNews Skip to main content

PEB komited selesaikan pengambilalihan reNIKOLA Holdings tahun depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Syarikat pemegangan pelaburan, Pimpinan Ehsan Berhad (PEB) berhasrat untuk memuktamadkan pengambilalihan ke atas firma tenaga boleh diperbaharui, reNIKOLA Holdings Sdn. Bhd. tepat pada waktunya, iaitu pada suku pertama tahun 2022 (1Q22). 

 

Komitmen itu dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif PEB, Lim Beng Guan yang mendedahkan bahawa syarikat sedang bekerja keras bagi mencapai sasaran itu, selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PEB ke-5 hari ini.

 

“Bersama-sama ahli Lembaga Pengarah, kami berharap dapat mendorong pertumbuhan yang lebih besar dan terus membuka peluang cerah di sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Beng Guan, PEB berhasrat untuk melihat lebih banyak penekanan ke atas inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan di sektor tenaga boleh diperbaharui dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan datang sebagai tambahan kepada program semasa.

 

“Matlamat kami bukan sahaja untuk meletakkan PEB di barisan hadapan dalam pembangunan tenaga hijau, tetapi sebuah perniagaan yang bertanggungjawab dari segi sosial dan mampan yang memberi manfaat sosio-ekonomi buat komuniti tempatan. 

 

“Faktor-faktor Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan menjadi prinsip bimbingan kami pada masa akan datang. Ia akan digabungkan ke dalam analisis pelaburan dan proses membuat keputusan kami,” ujar beliau lagi.

 

Di peringkat global, operasi yang mampan dan mesra alam sekitar berlaku dengan pantas ketika penerapan dasar pelepasan karbon sifar bersih dalam syarikat multinasional global (MNC) kian meningkat.

 

Dalam AGM tersebut, pemegang saham turut meluluskan kesemua resolusi yang dibentangkan.

 

Dari sudut perkembangan korporat, PEB pada 17 Jun  2021 mengumumkan bahawa syarikat telah diberikan lanjutan tempoh hingga 31 Desember 2021 untuk menyerahkan pelan pengaturcaraan ke pihak berwajib. - DagangNews.com