Pecca beli tanah UMW Development pada harga RM8.45 juta bagi bangunkan kilang kedua | DagangNews Skip to main content

Pecca beli tanah UMW Development pada harga RM8.45 juta bagi bangunkan kilang kedua

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Pecca Group Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya Pecca Leather Sdn Bhd (PLSB) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan UMW Development Sdn Bhd berhubung pembelian tanah perindustrian pegangan pajak kosong seluas 4.31 ekar pada harga RM8.45 juta.

 

Pengarah Urusan Pecca Datuk Teoh Hwa Cheng berkata, cadangan pengambilalihan itu adalah bagi membangunkan kemudahan pembuatan kedua untuk operasi Syarikat.

 

"Ini akan membolehkan Pecca meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan ketara untuk memenuhi pesanan masa hadapan. 

 

"Sejak penutupan seluruh industri ditarik balik, kadar penggunaan untuk kemudahan pembuatan semasa kami telah menyaksikan peningkatan kepada hampir 100% disebabkan oleh pengeluar kenderaan mengejar pesanan tertunggak mereka," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Tambahnya, selain memenuhi keperluan untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran Kumpulan, pemerolehan tanah ini di kawasan pembuatan bernilai tinggi itu juga selaras dengan strategi Pecca untuk meningkatkan kecekapan operasinya dengan menyepadukan inovasi terbaharu dibolehkan Industri 4.0 dan infrastruktur pembuatan termaju. 

 

"Ini akan menyediakan dan melengkapkan kami sepenuhnya untuk memenuhi semua keperluan mana-mana pelanggan baharu,” katanya. 

 

Terletak di Serendah, Selangor, tanah itu adalah sebahagian daripada pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman campuran yang dikenali sebagai UMW HVM Park, sebuah taman pembangunan perindustrian bernilai tinggi yang dibangunkan khusus untuk aktiviti pembuatan bernilai tinggi dalam industri seperti penjagaan kesihatan dan automotif.

 

Pecca berkata, pembinaan bangunan kilang itu akan mengikut reka bentuk dan spesifikasi bernilai tinggi selaras dengan keperluan di bawah Pelan Induk Taman HVM UMW. 

 

"Selepas itu, kedua-dua pihak akan menandatangani Perjanjian Bersama untuk mengekalkan kemudahan dan perkhidmatan bersama di taman perindustrian untuk faedah bersama pihak,"jelasnya. 

 

Dengan permodalan pasaran kira-kira RM637 juta, Pecca terlibat terutamanya dalam penggayaan, pembuatan dan pemasangan upholsteri kulit untuk sarung tempat duduk untuk industri automotif dan penerbangan. -DagangNews.com