Pecca berhasrat bentuk kerjasama baharu dengan entiti perniagaan berkaitan EV | DagangNews Skip to main content

Pecca berhasrat bentuk kerjasama baharu dengan entiti perniagaan berkaitan EV

KUALA LUMPUR 16 Nov - Pecca Group Bhd terbuka untuk membentuk jalinan kerjasama dengan mana-mana entiti perniagaan yang terlibat dengan industri kenderaan elektrik (EV).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee berkata, kumpulan itu secara agresif mencari untuk mempelbagaikan perniagaan mereka termasuk menyertai industri berkaitan EV.

 

"Kami berminat untuk menyertai perniagaan berkaitan EV, pengecas EV dan bateri. Kami kini sedang berbincang dengan bakal rakan niaga.

 

"Kumpulan itu juga sudah menubuhkan dua entiti undang-undang baharu bagi menyokong import serta pengedaran kenderaan EV.

 

"Kami juga sedang berbincang dengan beberapa pengeluar EV dari segi mewakili dan mendapatkan pengedaran ke Malaysia. Perbincangan sedang berjalan dan tidak banyak yang boleh kami dedahkan pada ketika ini," katanya pada sidang akhbar sempena mesyuarat agung tahunan Pecca, di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Pada tahun lalu, Pecca menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) bagi kerjasama dalam bahagian EV, teknologi komponen dan pengembangan pasaran produk.

 

Kerjasama itu juga menyaksikan MARii menyediakan peluang baharu kepada Pecca mengembangkan keupayaannya dan menawarkan produk yang lebih kompetitif kepada jenama global.

 

Ini termasuk meningkatkan kecekapan operasi proses perniagaannya dengan menyepadukan sistem Industri 4.0, yang akan menyediakan dengan lebih baik dan melengkapkan syarikat sepenuhnya untuk memenuhi keperluan pelanggan baharu.

 

Ken Nee berkata, Pecca sedang memuktamadkan kerjasama terbaharunya dengan MARii bagi memulakan penglibatan baharu dengan jenama kenderaan mewah.

 

“Kami akan mengumumkan perkara ini (kerjasama dengan MARii) tidak lama lagi, (sebagaimana sedia ada) kami telah membina kilang kedua kami di Selangor bagi membolehkan Pecca meningkatkan kapasitinyabagi menampung permintaan masa depan, terutama bagi jenama mewah,” katanya.

 

Selain MARii, kumpulan itu juga sedang berusaha untuk berhubung dengan rakan kongsi masing-masing dalam jenama kenderaan mewah bagi mengenal pasti dan mempamerkan lebih banyak sampel dan kualitinya.

 

“Kami aktif dalam mengambil langkah agresif bagi memperkenalkan diri dengan menunjukkan keupayaan dan profil kami dengan jenama tempatan dan antarabangsa.

 

"MARii adalah platform utama bagi mendekatkan kami dengan rakyat dalam perspektif serantau dan global dan itu adalah sesuatu yang kami sedang berusaha rapat untuk mencapainya," katanya.- DagangNews.com