Pecca cadang laksanakan 3-untuk-1 terbitan bonus bagi hargai pemegang sahamnya | DagangNews Skip to main content

Pecca cadang laksanakan 3-untuk-1 terbitan bonus bagi hargai pemegang sahamnya

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Pecca Group Berhad mengumumkan cadangan untuk melaksanakan Cadangan Terbitan Bonus sehingga 564 juta saham biasa baharu (Saham Bonus) dalam Pecca berdasarkan 3 Saham Bonus untuk setiap 1 saham Pecca sedia ada yang dipegang oleh pemegang sahamnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pecca berkata, selain memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya atas kesetiaan dan sokongan berterusan mereka, langkah itu akan memberi penyertaan ekuiti yang lebih besar sambil mengekalkan peratusan pegangan saham ekuiti mereka.

 

Katanya, ia juga berpotensi mencetus peningkatan kecairan dagangan saham Pecca dengan menambah bilangan saham dalam terbitan, yang mana menjadikan sahamnya lebih mampu milik dan menggalakkan penyertaan yang lebih besar oleh kumpulan pemegang saham awam dan pelabur yang lebih luas.

 

"Rizab dan jumlah aset bersih Kumpulan akan dikekalkan kerana Cadangan Terbitan Bonus akan dilaksanakan melalui penggunaan rangka kerja terbitan bonus yang dipertingkatkan tanpa menggunakan permodalan rizab Syarikat," katanya dakam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Sehingga 30 September 2021, Kumpulan itu memiliki tunai dan setara tunai berjumlah RM64.35 juta.

 

"Ia akan digunakan melalui usaha pertambahan nilai dan mencari peluang penggabungan & pengambilalihan atau usaha sama yang sesuai yang boleh meningkatkan keterlihatan pendapatan Syarikat bergerak ke hadapan," katanya.

 

Menurut kenyataan itu lagi, bilangan sebenar Saham Bonus yang bakal diterbitkan menurut Cadangan Terbitan Bonus akan berdasarkan jumlah bilangan saham Pecca yang diterbitkan pada Tarikh Kelayakan, yang akan ditentukan dan diumumkan oleh lembaga pengarah pada tarikh kemudian. 

 

"Cadangan Terbitan Bonus ini dijangka selesai menjelang suku pertama 2022, selepas mendapat kelulusan pemegang saham," katanya.

 

Dengan permodalan pasaran kira-kira RM637 juta, Pecca terlibat terutamanya dalam pembuatan upholsteri kulit untuk sarung kerusi kereta dan pembekalan potongan kulit kepada industri upholsteri kulit automotif. 

 

Ia merupakan pemain upholsteri kulit automotif terbesar dalam segmen kenderaan penumpang OEM dan pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) Malaysia, dan ia juga terlibat dalam pasaran eksport seperti ke Singapura, AS, Belanda, Australia, New Zealand, UK, Ireland dan China. -DagangNews.com