Pedagang niaga hadapan tidak berlesen didakwa menipu pelabur RM1.45 juta - SC | DagangNews Skip to main content

Pedagang niaga hadapan tidak berlesen didakwa menipu pelabur RM1.45 juta - SC

Mohd Azhidi bin Laili

KUALA LUMPUR 15 Feb - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap Mohd Azhidi bin Laili (Azhidi) atas pelanggaran pelbagai undang-undang sekuriti, termasuk berkaitan aktiviti tidak berlesen dan menipu wang sembilan pelabur sebanyak hampir RM1.45 juta antara Mei 2013 dan Mac 2014.

 

Suruhanjaya itu berkata, Azhidi menyatakan kepada sembilan mangsa itu bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan niaga hadapan minyak sawit mentah di bawah AmFutures Sdn Bhd, padahal skim tersebut tidak wujud dalam AmFutures Sdn Bhd.

 

"Azhidi telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam untuk berhadapan dengan sembilan pertuduhan di bawah subseksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

 

"Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta,” katanya.

 

Di samping itu, SC juga mengenakan pertuduhan terhadap Azhidi kerana mengaku sebagai pedagang niaga hadapan tanpa Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal, satu kesalahan di bawah subseksyen 59(1) CMSA.

 

"Kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta, atau kedua-duanya,” katanya.

 

SC berkata, Azhidi juga menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah subseksyen 134(5)(a) Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 kerana gagal mematuhi Notis SC untuk hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC pada 13 Februari 2018.

 

"Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta,” katanya.

 

SC memperoleh waran tangkap terhadap Azhidi apabila usaha untuk mengesannya sejak 2015 gagal. Azhidi telah ditangkap pada 12 Februari 2022.

 

Menurut SC, Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun membenarkan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan hakim memerintahkan tertuduh untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan. - DagangNews.com