KUALA LUMPUR 12 Okt. - Pembelian ekuiti yang rancak sejak akhir-akhir ini kembali meningkatkan semula pegangan asing dalam pasaran ekuiti Malaysia.
Ini menyaksikan setakat akhir September 2021, pegangan asing meningkat 0.2% kepada 20.4%, menurut CGS-CIMB dalam laporan strategik mingguannya.
"Setakat ini hingga 8 Oktober, pelabur asing sudah menjual bersih sebanyak RM3.7 bilion ekuiti tempatan," katanya hari ini.
Pegangan asing dalam ekuiti tempatan mula menurun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan buat kali pertama dalam sejarah negara.
Dalam tempoh itu, pegangan asing mulai menurun dan terus menyusut sebanyak 3.8% daripada paras 24.2% yang direkodkan pada Mac 2018.
Berdasarkan laporan CGS-CIMB bagi minggu berakhir 8 Oktober, pelabur asing membeli sebanyak RM293 juta ekuiti tempatan berbanding menjual RM342 juta ekuiti minggu sebelumnya.
"Mereka banyak membeli saham bagi sektor berkaitan penjagaan kesihatan dan produk pengguna terutamanya Petronas Chemicals Bhd., IHH Healthcare Bhd. dan Genting Bhd.," katanya.
Sementara itu, jualan ekuiti pelabur asing tempatan bagi minggu tersebut meningkat 50% minggu ke minggu kepada RM136 juta sekali gus meningkatkan jualan terkumpul sebanyak RM9.5 bilion setakat ini.
Pelabur institusi tempatan kebanyakannya menjual saham Petronas Chemicals, Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan IHH.
"Sebaliknya, pelabur runcit pula menjadi penjual bersih ekuiti buat kali ketiga tahun ini.
"Mereka menjual sebanyak RM70 juta ekuiti minggu lalu dengan kebanyakannya adalah saham Hibiscus Petroleum Bhd., Dialog Group Bhd. dan CTOS Digital Bhd.," tambahnya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mendapati, dagangan indeks utama FBM KLCI menokok 2.6% sepanjang minggu lalu didorong peningkatan semua sektor kecuali kaunter berkaitan penjagaan kesihatan.
Ia menyaksikan volum purata dahangan harian susut 5% minggu ke minggu kepada 4.3 bilion unit manakala nilai purata dagangan harian kekal mendatar pada RM3.1 bilion. - DagangNews.com