Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia terendah sejak 2010 | DagangNews Skip to main content

Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia terendah sejak 2010

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia setakat April 2021 tidak berubah pada kadar 20.3%, iaitu paras terendah sejak Mei 2010. 

 

Menurut CGS-CIMB Research, ini sebahagiannya berpunca daripada penjualan bersih asing berjumlah RM1.1 bilion bagi April 2021. 

 

“Trend menurun dalam pemegangan asing bermula pada Mei 2018, atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) meraih majoriti mudah dalam Parlimen, menandakan perubahan pertama dalam sejarah kerajaan Malaysia.

 

“Sejak itu, paras pegangan asing telah menyusut 3.9% daripada paras tertingginya 24.2% pada Mei 2018 kepada 20.3% setakat April 2021,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajiannya. 

 

Dalam pada itu, pelabur asing juga menjadi penjual bersih dalam pasaran tempatan untuk tempoh 22 bulan berturut-turut bermula Julai 2019 hingga April 2021. 

 

Baca : Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia berkurangan sejak PRU-14

 

Sejak awal tahun 2021 hingga setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih RM3.3 bilion ekuiti Malaysia, ujar CGS-CIMB.

 

Bagi tempoh dagangan minggu lalu, bermula 17 hingga 21 Mei 2021, FBM KLCI menyusut 1.3% berbanding minggu sebelumnya kepada 1,563 mata ekoran wujudnya kebimbangan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang akan diperketatkan oleh kerajaan. 

 

Namun, purata jumlah dagangan harian meningkat 35% bagi perbandingan minggu ke minggu (w-o-w) kepada 6.5 bilion unit, tambah CGS-CIMB. 

 

Seiring itu, purata nilai dagangan harian juga meningkat 39% w-o-w kepada RM3.9 bilion. 

 

“Semua kategori pelabur kecuali penama tempatan merupakan pembeli bersih pada minggu lalu. Pelabur institusi tempatan merupakan pembeli bersih terbesar ekuiti untuk minggu yang kedua kalinya.

 

“Namun, aliran masuk bersih mereka menyusut 39% w-o-w pada minggu lalu. Pelabur runcit pula beralih daripada penjual bersih kepada pembeli bersih kedua terbesar, berjumlah RM66.2 juta pada minggu lalu. 

 

“Pelabur asing beralih kepada pembeli bersih pada minggu lalu selepas berterusan menjadi penjual bersih untuk sembilan minggu berturut-turut,” jelas CGS-CIMB lanjut. - DagangNews.com