Peguam Negara: Tolong perjelaskan penggunaan Kanun Keseksaan ke atas editor The Edge | DagangNews Skip to main content

Peguam Negara: Tolong perjelaskan penggunaan Kanun Keseksaan ke atas editor The Edge

Pendakwaan jenayah terhadap Editor Emiritus The Edge Communications Sdn Bhd, Ahmad Azam Mohd Aris di mahkamah majistret pada 13 September 2022 mencetuskan kemarahan wartawan Malaysia.

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

PENGGUNAAN Seksyen 500 Kanun Keseksaan terhadap Editor Emiritus The Edge Communications Sdn Bhd, Ahmad Azam Mohd Aris memerlukan penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

 

Azam didakwa di mahkamah majistret pada 13 September 2022, atas tuduhan memfitnah jenayah berhubung dua laporan berita mengenai lonjakan tidak normal dalam saham `penny' pada 2020 dan 2021.

 

Pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu adalah ekoran laporan polis oleh pengarah bukan eksekutif Metronic Global Bhd Datuk Kua Khai Shyuan, DGB Asia Bhd, Trive Property Group Bhd, Metronic Global Bhd, dan MNC Wireless Bhd. yang mendakwa artikel berkenaan mencemarkan reputasi mereka.

 

Dua artikel tersebut ialah:

  • Hidden Hands Behind Penny Stocks Surge Under Scrutiny - April 12, 2021 (Tangan Tersembunyi Di Sebalik Stok Penny Melonjak Dibawah Penelitian Rapi)
  • Hidden Hands Behind Penny Stock Surge - Sept 21 2020 (Tangan Tersembunyi Di Sebalik Lonjakan Saham Penny).

 

Artikel tersebut secara umumnya menceritakan saham-saham syarikat berharga murah tetapi mencatatkan transaksi luar daripada kebiasaan untuk sesebuah `penny stock’ dan didakwa berkemungkinan berlaku manipulasi pasaran.

 

Perhatikan bahawa kandungan berita yang dibuat bukan gosip murahan, terselit agenda politik atau ala-cemuhan netizen. Sebaliknya ia berita yang bersandarkan analisis perbandingan yang lengkap. Semua maklumat yang diguna sebagai titik analisis bukan rahsia tetapi boleh diperoleh secara terbuka di Bursa Malaysia.


 

merrepak

 


Kebiasaannya, dalam situasi ini sesebuah entiti atau individu yang tidak berpuas hati dengan sesuatu laporan berita, akan berhubung dengan media terbabit untuk memberi penjelasan atau mengemukakan pandangan pihaknya. Ini dinamakan hak untuk bersuara dan hak untuk didengar.

 

Kadang-kadang, bila pendekatan diplomasi sedemikian tidak digunakan, maka entiti atau individu tersebut akan mengambil tindakan menyaman di mahkamah sivil.

 

Ini semua wartawan maklum. Ini namanya `occupational hazard'. Sebenarnya, tindakan menyaman media ini amat disukai oleh parti politik. Terutama parti politik yang lantang melaungkan `kebebasan media’. Di manakah ironi – anda sendiri rumuskan.

 

Dan dalam kebanyakan situasi, wartawan sememangnya `lebih seram’ kepada risiko disaman berbanding OSA (Akta Rahsia Rasmi). Kerana mengikut statistik, jarang OSA digunakan ke atas wartawan. Kalau tidak, isu 1MDB dan kapal perang LCS, pasti ramai yang kena.

 

Jadi bila kes editor The Edge ini diberi perhatian serius oleh polis, dan kemudiannya diluluskan oleh Peguam Negara untuk didakwa di mahkamah, atas tuduhan `mencemar reputasi’ – yang sepatutnya ditolak dan disaran agar diurus di mahkamah sivil sahaja – tentulah perkembangan ini memeranjatkan bukan sahaja golongan wartawan tetapi juga mereka yang mahukan kebebasan media di negara ini.

 

Peguam Negara perlu memberi penjelasan atas keputusannya membenarkan pendakwaan Editor The Edge mengikut Kanun Keseksaan. Perjelaskan berita hal-ehwal korporat, perniagaan dan ekonomi yang bagaimana tidak boleh dan dibolehkan.


 

Tan Sri Idrus Harun
                                        Tan Sri Idrus Harun

 


Ini bukan desakan politik, wahai Tan Sri Idrus Harun. Kami tidak ada pelan nak bertanding pada PRU15. 

 

Kerana nanti dengan penjelasan Tan Sri, sekurang-kurangnya golongan wartawan akan tahu di mana pagar yang telah ditegakkan di padang kebebasan media Malaysia, apakah ada jerangkap samar kalau lalu tepi padang atau memang tidak boleh lalu sama sekali.

 

Kami maklum, kes ini juga bukan sekadar isyarat kelip-kelip merah tetapi lebih sebagai amaran keras kepada pengamal media.

 

Tapi perjelaskanlah kepada wartawan sebaik-baiknya, supaya kami faham dan tidak meneka dalam kesamaran.

 

Kebebasan Media

Apakah ada kebebasan media di Malaysia? Perkara ini dibicarakan zaman berzaman namun tiada jawapan yang jitu.

 

Malah sejak menyertai bidang kewartawanan pada 1992 sehingga sekarang, bila ditanya saya sekadar menjawab `bebas selagi anda tidak langgar Rukun Negara’.


 

merrepak

 


Apakah kebebasan yang dimaksudkan? Bergantung di sebelah mana anda berdiri, ideologi politik anda. Benarkah?

 

Bahawa anda mahu kebebasan media untuk bebas melaporkan apa sahaja kemungkaran seperti rasuah, salah guna kuasa supaya pesalah dihukum.

 

Bahawa anda mahu kebebasan media supaya pemegang kuasa didedahkan salah laku agar rakyat mengetahuinya.

 

Betul! Ini adalah antara matlamat asas kebebasan media. Tetapi kebebasan ini hendaklah bersifat universal. Ia tidak sepatutnya dituju kepada satu pihak sahaja atau satu lorong. Hanya dengan ini baharulah wujud keadilan dan kesaksamaan.

 

Sejauh mana Malaysia sudah mencapai darjat `Kebebasan Media Tanpa Rasa Takut atau Pilih Kasih’?

 

Fikirkan dan bincangkan dengan berlandaskan kes Editor The Edge ini.


 

merrepak

 


Kebebasan Jabatan Pengarang

Ketika kes Azam dibawa ke mahkamah, satu lagi insiden besar berlaku di The New Straits Times di mana Pengarang Kumpulannya, Ahmad Lokman Mansor telah ditukar secara mendadak.

 

Desas-desus yang hangat diperkatakan ialah ia didakwa berpunca daripada campur tangan dua pemimpin kanan UMNO, menurut laporan The Vibes.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti menafikan ada berbuat demikian, malah pegawai Pejabat PM pun terkejut dan kecewa PM pula dikaitkan.

 

Pasca pilihan raya 2018 dan menuju PRU15, nampaknya tiada yang berubah. 

 

Dirgahayu media mainstream Malaysia!

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Stormbringer oleh Deep Purple berulang-ulang kali.