Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Realitinya tenat.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua yang kini dilanjutkan lagi jauh sekali membawa khabar gembira.
Sebaliknya, seolah-olah meletakkan ‘batu nisan’ ke atas industri perhotelan negara.
Pemain industri itu tidak menghalang usaha kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19, namun hanya sedikit lagi perhatian diberikan cukup meletakkan ‘tongkat’ untuk mereka ‘mengayuh’ perniagaan dengan perlahan-lahan.
Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad yang mencipta kerjaya dalam industri perhotelan selama 18 tahun, jujur mengakui tidak melihat usaha jitu daripada pihak kerajaan untuk menyemarakkan kembali sektor berkenaan.
Bukan mahu mengharapkan bantuan 100% daripada kerajaan, namun beliau mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mempertimbangkan pemberian elaun kepada pekerja hotel.
Hakikatnya, Ahmad yang bekerja di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Pulau Pinang bimbang kehilangan pekerjaan ketika ekonomi masih berdepan cabaran dan peluang pekerjaan dalam sektor tersebut yang kian meruncing.
“Ini luahan hati saya, kami sebenarnya takut kehilangan pekerjaan sebab hampir 50% hotel di Pulau Pinang telah ditutup. Kami rela menerima hanya gaji asas daripada kehilangan pekerjaan kerana sukar untuk mencari peluang buat masa ini.
“Dalam keadaan sekarang ini, hotel sukar untuk ‘mencari makan’. Kita tidak mengharapkan banyak, mungkin ada elaun atau bantuan yang dapat diberikan.
“Cuma, tolong (kerajaan) pastikan bahawa wang bantuan (Program Subsidi Upah) RM600 sebulan akan sampai kepada pekerja yang layak menerimanya,” luahnya kepada DagangNews.com.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata kepada DagangNews.com bahawa industri perhotelan sekali lagi kehilangan semua punca pendapatan setelah hampir satu tahun menanggung kerugian.
Baca : Jangan 'kebumikan' industri hotel
Jelasnya, industri perhotelan kemungkinan besar tidak akan dapat bertahan lebih lama lagi dan keadaan semasa dijangka lebih teruk berbanding tahun lepas.
Kongsi Ahmad lagi, operasi hotelnya masih berjalan pada tahun lalu kerana dapat ditampung oleh kadar jualan yang melambung tinggi pada tahun 2018 dan 2019.
Namun, apabila kadar jualan yang diperoleh rendah pada tahun lalu, dia tidak menafikan perniagaan pada tahun ini akan lebih mencabar walaupun masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Banyak SOP kena ikut, sebagai contoh penganjuran majlis tidak boleh diambil banyak, tiada tempahan mesyuarat mahupun seminar dan majlis makan malam. Perniagaan hotel selalunya bergantung kepada ruang bilik dan makanan, tetapi bila jadi macam ni (sekatan pergerakan), ia akan memberi kesan kepada jualan.
“Kita tidak boleh mengharapkan tempahan bilik sahaja. Kebanyakan hotel di tengah bandar menerima pelancong luar negara, tetapi apabila sempadan ditutup, memang (hotel) akan terjejas,” tambahnya lanjut.
Ujar Ahmad, elaun perkhidmatan yang diterimanya mampu mencecah ratusan ringgit setiap bulan menyusut sehingga RM5 susulan penularan COVID-19.
Impak pandemik COVID-19 menyaksikan sebanyak 109 buat hotel dilaporkan terpaksa ditutup pada tahun lalu, malah ada yang terpaksa menawarkan pemberhentian kerja secara sukarela (VSS) kepada staf.
Baca : 204 syarikat pelancongan dan hotel tutup operasi sejak Mac
Penularan pandemik itu juga telah mengundang seorang lagi bekas pekerja hotel bertaraf lima bintang di bandar raya Kuala Lumpur untuk berhenti kerja pada Disember tahun lalu dan beralih kepada kerjaya perunding pakej takaful.
Sejak April 2020, Nurul (nama samaran) terpaksa menanggung komitmen bulanan dengan gaji yang dipotong 10% hingga 30%.
Kongsinya kepada DagangNews.com, pelaksanaan itu hanya melibatkan beberapa tahap pekerja, namun ia diperluaskan kepada semua peringkat staf bermula Oktober 2020.
“Saya menghantar notis berhenti kerja pada Oktober 2020 dan secara rasmi melepaskan jawatan pada 31 Disember.
“Potongan gaji mula dilaksanakan pada April 2020 sekitar 10% hingga 30%, dikenakan kepada staf yang tertentu iaitu mereka yang bergaji RM4,000 ke atas.
“Tetapi selepas Oktober sehingga Disember 2020, ia dikuatkuasakan ke atas semua staf sekitar 30% pemotongan gaji dan memasuki Januari 2021, ia dinaikkan kepada 50%,” kongsinya yang telah bekerja di hotel berkenaan selama tiga tahun di bahagian sumber manusia.
Di sebalik keluh-kesah yang dikongsi, MOTAC dalam sebuah kenyataan semalam memberikan jaminan untuk sentiasa dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk industri perhotelan bagi menyemarakkan pelancongan domestik negara.
Jelas kementerian itu, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan merangkumi kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan, persatuan hotel (termasuk hotel bajet) dan zoo terpilih. - DagangNews.com