Pelabur asing beli RM217.6 juta ekuiti tempatan minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM217.6 juta ekuiti tempatan minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dengan jumlah keseluruhan bernilai RM217.6 juta.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing terus menempatkan semula dana selepas terdapat jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu ini dan Bursa Malaysia terus mendapat manfaat daripada aliran masuk bersih.

 

Katanya, walaupun mereka menjadi penjual bersih pada Rabu sebanyak RM129.8 juta dan RM95.1 juta pada Khamis, pelabur asing menjadi pembeli bersih untuk baki minggu itu.

 

"Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM335 juta), hartanah (RM52.8 juta) dan pembinaan (RM49.4 juta).

 

"Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk & perkhidmatan pengguna (RM71.2 juta), perkhidmatan kewangan (RM47.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM35.4 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 13 September 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan menghentikan jualan bersih empat minggu berturut-turut selepas menacatatkan belian bersih RM3.5 juta minggu lepas.

 

Mereka menjadi penjual bersih sebanyak RM274.6 juta pada Selasa dan RM12.4 juta pada Jumaat tetapi menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu.

 

"Peruncit tempatan sebaliknya, kembali kepada jualan bersih sebanyak RM221.1 juta selepas mencatatkan belian bersih seketika sebanyak RM162.2 juta minggu sebelumnya.

 

"Mereka hanya membeli bersih RM16.7 juta pada Rabu dan menjadi penjual bersih sepanjang minggu," katanya.

 

Purata volum dagangan harian (ADTV) masing-masing melonjak 12.5% ​​dan 10.6% dalam kalangan institusi tempatan dan pelabur asing manakala peruncit tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 5.4%.- DagangNews.com