Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Mac - Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di pasaran ekuiti tempatan, setiap hari kecuali Khamis pada minggu lalu berakhir 5 Mac 2021.
Pada tempoh berkenaan, aliran ekuiti asing mencatatkan nilai RM285.83 juta, menurut MIDF Research.
Jelas firma penyelidikan itu, apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing telah membeli RM50.30 juta nilai ekuiti bersih dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merupakan pembeli bersih (+121.06 juta) dan penjual bersih (-RM171.36 juta).
“Pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada Khamis minggu lalu, didorong oleh sentimen positif daripada pelancaran program vaksin COVID-19 di Malaysia selain penarikan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor berkuatkuasa 5 Mac 2021,” jelas MIDF dalam nota kajiannya.
Tambah MIDF, penjualan bersih oleh pelabur asing bernilai RM1.42 bilion setakat ini pada tahun 2021, lebih rendah berbanding -RM3.30 bilion bagi tempoh sama pada 2020.
“Bagi pelabur runcit, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu.
“Pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Isnin, bernilai RM121.06 juta dan nilai bersih terendah pada Selasa, RM22.45 juta,” ujar MIDF lanjut.
Sementara itu, institusi tempatan pula merupakan penjual bersih pada setiap hari minggu lalu kecuali pada Khamis.
Jelas MIDF, minggu lalu menyaksikan pengakhiran pelaburan yang bercampur-campur selepas empat minggu mempamerkan ‘corak’ penjualan bersih pada tahun ini.
Aliran keluar mingguan terkumpul mencatatkan nilai -RM590.40 juta, tambah MIDF.
Secara keseluruhannya, penjualan bersih tertinggi dicatatkan pada Selasa, bernilai -RM262.62 juta sementara penjualan bersih terendah pada Jumaat, -RM83.34 juta, kata MIDF lagi.
Menurut firma penyelidikan itu, sejak permulaan 2021, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih bagi pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM4.05 bilion.
Pelabur institusi tempatan dan asing pula merupakan penjual bersih masing-masing bernilai -RM2.64 bilion dan -RM1.42 bilion, jelas MIDF.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, asing dan institusi tempatan mencatatkan penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) minggu ke minggu, masing-masing pada kadar -21.51%, -30.48% dan -22.37%.
Pada tempoh sama , tiga saham yang menyaksikan aliran masuk tertinggi adalah My E.G. Services Berhad (RM3.60 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM3.42 juta) dan Hong Leong Bank Berhad (RM1.95 juta).
Sementara itu, Inari Amertron Berhad, Hartalega Holdings Berhad dan CIMB Group Holdings Berhad menyaksikan aliran keluar tertinggi, masing-masing bernilai -RM7.19 juta, -RM5.58 juta dan –RM5.07 juta. - DagangNews.com