Pelabur asing ‘buru’ saham Digi minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing ‘buru’ saham Digi minggu lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 April - Pasaran ekuiti tempatan menyaksikan saham DiGi.com Berhad meraih aliran masuk bersih asing tertinggi pada minggu lalu. 

 

Saham Axiata Group Berhad sebaliknya ‘tergolong’ dalam lima penjualan bersih tertinggi oleh pelabur asing. 

 

Namun, berbeza dengan pelabur institusi tempatan apabila Axiata mencatatkan saham kedua tertinggi yang meraih pembelian bersih dari golongan itu, menurut CGS-CIMB Research. 

 

“Pelabur runcit pula merupakan penjual utama saham Digi,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini.

 

Pada minggu lalu, lonjakan saham Digi dan Axiata telah mendorong indeks FBM KLCI untuk meningkat 1.7% bagi perbandingan minggu ke minggu (w-o-w) kepada 1,613 mata.

 

Ini sebahagian besarnya susulan daripada rancangan penggabungan syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Berhad dan Digi. 

 

Baca : Celcom dan Digi sah bakal bergabung jadi telco terbesar Malaysia 

 

Dalam masa sama, CGS-CIMB mendapati keuntungan yang diraih kaunter sarung tangan turut menjadi penyumbang kepada lonjakan FBM KLCI pada minggu lalu. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula beralih menjadi pembeli bersih bagi sektor penjagaan kesihatan selepas menjual selama enam minggu sebelum itu.

 

Pelabur runcit sebelum ini menjadi pembeli bersih sektor berkenaan selama enam minggu lalu, jelas CGS-CIMB.

 

Secara keseluruhannya, pelabur runcit dan penama tempatan menjadi pembeli bersih pada minggu lalu, dan selebihnya merupakan penjual bersih. 

 

“Pelabur runcit kekal sebagai pembeli bersih terbesar, tetapi aliran masuk mereka jatuh 69% w-o-w kepada RM99.3 juta. 

 

“Pelabur asing kekal dalam mod penjualan bersih, tetapi aliran keluar mereka menyusut 55% w-o-w kepada RM78 juta.

 

“Pelabur institusi tempatan meneruskan penjualan bersih mereka selama 18 minggu berturut-turut. Berita baiknya adalah penjualan bersih mingguan mereka jatuh 97% w-o-w kepada RM6.5 juta nilai ekuiti pada minggu lalu, terendah sejak awal 2021,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com