Pelabur asing jual ekuiti Malaysia, -RM466.42 juta | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti Malaysia, -RM466.42 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Pasaran ekuiti Malaysia pada minggu lalu yang berakhir 19 Februari 2021 menyaksikan aliran keluar asing mencecah -RM466.42 juta. 

 

Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing telah membeli sebanyak RM2.62 juta ekuiti tempatan, jelas MIDF Research.

 

“Berbeza dengan jangkaan, pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai ketibaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech ke Malaysia pada 21 Februari 2021, pada minggu lalu tidak menyuntik aliran masuk asing yang besar ke dalam pasaran ekuiti Malaysia. 

 

“Pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari kecuali pada Isnin minggu lalu. 

 

“Aliran masuk itu tidak cukup untuk menampung momentum negatif. Aliran asing tertinggi direkodkan pada Khamis iaitu -RM189.58 dan aliran asing terendah pada Selasa iaitu hanya -RM16.37 juta,” ujar MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Namun, prestasi itu berbeza dengan pelabur runcit yang menjadi pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu. 

 

Pembelian bersih tertinggi dicatatkan pada Khamis bernilai RM199.84 juta dan pembelian terendah pada Isnin iaitu RM66.55 juta, tambah MIDF lanjut. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan juga menjadi penjual bersih setiap hari pada minggu lalu kecuali pada Rabu, jelas MIDF.

 

Aliran keluar mingguan yang terkumpul mencecah -RM232.64 juta. 

 

“Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Selasa dan aliran keluar terendah pada Khamis, bernilai -RM10.26 juta. 

 

“Sejak permulaan 2021, secara terkumpul, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti bernilai RM2.82 bilion. 

 

“Pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing merupakan penjual bersih bernilai -RM158 bilion dan -RM1.22 bilion,” kata MIDF.

 

Tambah MIDF, jika dibandingkan dengan tiga pasaran Asia Tenggara pada minggu lalu, kesemua pasaran menyaksikan aliran keluar bersih. 

 

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, asing dan institusi tempatan masing-masing menyaksikan peningkatan mingguan dari segi purata nilai dagangan harian iaitu +64.75%, +49.04% dan +48.20%.

 

Pada minggu lalu, Public Bank Berhad, Dialog Group Berhad dan MISC Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi iaitu masing-masing bernilai RM13.26 juta, RM3.27 juta dan RM2.88 juta. 

 

Berbeza dengan Top Glove Corporation Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Hartalega Holdings Berhad yang menyaksikan aliran keluar tertinggi, masing-masing bernilai -RM13.37 juta, -RM8.03 juta dan –RM6.12 juta. - DagangNews.com