Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Pelabur asing kembali menjual ekuiti Malaysia pada minggu lalu yang berakhir 22 Januari 2021, menyaksikan aliran keluar mencecah -RM288.13 juta.
Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing mula menjual sehingga -RM57.15 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan menjadi pembeli utama masing-masing bernilai RM15.97 juta dan RM41.18 juta.
MIDF Research mendapati pelabur asing menjual ekuiti Malaysia setiap hari pada minggu lalu.
“Ini susulan kes COVID-19 yang kian meningkat dengan perintah berkurung bersasar di beberapa negeri termasuk pusat ekonomi utama.
“Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada hari Khamis iaitu -RM117.11 juta dengan aliran terendah pada Rabu (-RM8.87 juta),” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini.
Situasi itu berbeza dengan pelabur runcit yang membeli ekuiti Malaysia setiap hari.
Pembelian ekuiti tertinggi dicatatkan pada hari Khamis, RM172.95 juta dengan nilai terendah pada Jumaat, RM71.1 juta.
Dalam pada itu, catat MIDF, serupa dengan tindakan pelabur asing, institusi tempatan pada minggu lalu menyaksikan aliran ekuiti yang negatif.
“Pembelian dicatatkan pada Isnin dan Jumaat dengan aliran masuk bersih terendah berada di bawah RM50.00 juta setiapnya.
“Aktiviti penjualan lebih besar, mendorong kepada nilai jualan ekuiti bersih sehingga -RM138.03 juta. Aliran keluar terbesar pada Selasa bernilai -RM72.59 juta,” tambah MIDF.
Sejak awal tahun ini, secara keseluruhannya, pelabur runcit menjadi satu-satunyaa pembeli utama pasaran ekuiti dengan nilai RM1.16 bilion.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan dan asing pula masing-masing menjual ekuiti Malaysia dengan nilai -RM862.97 juta dan -RM299.09 juta, kata MIDF.
Jika dibandingkan dengan tiga pasaran Asia Tenggara lain yang sedang membangun, Thailand dan Indonesia menyaksikan aliran masuk sementara Filipina dan Malaysia mencatatkan aliran keluar.
Tiga saham yang menyaksikan aliran masuk tertinggi pada minggu lalu adalah Public Bank Berhad (RM10.79 juta), Kuala Lumpur Kepong Berhad (RM6.15 juta) dan Telekom Malaysia Berhad (RM4.61 juta).
Sebaliknya, CIMB Group Holdings Berhad, Top Glove Corporation Berhad dan Inari Amertron Berhad mencatatkan aliran keluar tertinggi, masing-masing bernilai -RM7.77 juta, –RM7.40 juta dan –RM5.31 juta. - DagangNews.com