Pelabur asing jual RM1.6 bilion ekuiti pada September disebabkan kelemahan ringgit  | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM1.6 bilion ekuiti pada September disebabkan kelemahan ringgit 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Okt - Sejajar dengan kelemahan ringgit, pasaran tempatan menyaksikan pelabur asing kembali menjual bersih ekuiti sebanyak RM1.6 bilion pada September selepas pembelian melantun semula kepada RM2 bilion pada bulan sebelumnya, demikian menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Penganalisisnya, Alex Goh berkata, penjualan ekuiti itu telah mengheret turun indeks utama FBM KLCI sebanyak 8% bulan ke bulan kepada 1,395 mata pada Jumaat lalu, paras terendah yang tidak pernah dilihat sejak Mei 2020 ketika tercetusnya pandemik COVID-19. 

 

Katanya, ia berkemungkinan mengurangkan pegangan saham ekuiti asing pada September selepas jatuh kepada 20.1% pada Ogos 2022 daripada 20.6% pada Februari tahun ini. 

 

"Malah, ini kekal jauh di bawah 22.4% pada Januari 2020 sebelum wabak COVID-19 menular di seluruh dunia.

 

"Penurunan KLCI pada September mungkin lebih teruk jika institusi tempatan tidak membeli ekuiti sebanyak RM1.1 bilion pada bulan tersebut, sebahagiannya mengimbangi jualan bersih pelabur asing," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Bursa Malaysia

 

 

Di tengah-tengah urus niaga kitaran balas dengan pelabur asing, institusi tempatan masih menjadi penjual bersih ekuiti setakat ini sebanyak RM9.3 bilion.

 

Ini adalah 39% lebih daripada pembelian bersih asing terkumpul pada 2022 setakat ini, yang terus melembapkan sentimen pelabur di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang terlalu agresif dan jangkaan kemelesetan global.

 

AmInvestment mendapati aktiviti jualan pada September menyebabkan kedudukan pembelian pelabur asing merosot kepada RM6.6 bilion daripada RM8.2 bilion pada Ogos.

 

Sejak awal tahun ini, 58.5% daripada pembelian bersih asing adalah dalam sektor kewangan diikuti perladangan (24%) dan produk/perkhidmatan perindustrian (17%), sebahagiannya diimbangi oleh RM1.4 bilion jualan bersih bagi saham teknologi.

 

Di rantau ini, hanya Indonesia, Thailand dan Malaysia menikmati aliran masuk ekuiti asing bersih setakat ini dengan Malaysia menyumbang 16% daripada pembelian bersih ASEAN. 

 

Menurut Goh, Malaysia telah mengharungi jualan baru-baru ini dengan penurunan setakat ini sebanyak 11%.

 

Pada September, katanya, setiap indeks saham serantau merosot dengan Hong Kong mencatat prestasi paling teruk susut 14% diikuti Korea Selatan dan Filipina, kedua-duanya merosot 13%.

 

"Di peringkat serantau, kebanyakan bursa saham merosot kecuali Indeks Komposit Jakarta, yang meningkat 7% manakala Singapura tidak berubah. 

 

"Korea jatuh paling banyak setakat ini sebanyak 28% diikuti Hong Kong dan Taiwan (26%), Filipina (19%) dan China (17%)," katanya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Beliau menjangkakan pembeli ekuiti asing akan kembali pada suku keempat 2022 daripada aliran keluar ekuiti asing yang direkodkan pada September.

 

Katanya, ia didorong penilaian ekuiti Malaysia yang menarik dan prospek unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4% berbanding kadar global 2.7%.

 

"Selain itu, ia turut disokong oleh jangkaan ringgit yang lebih kukuh dengan pakar ekonomi kami mengunjurkan ringgit berbanding dolar AS mengukuh daripada RM4.64 pada masa ini kepada RM4.55 hingga RM4.60 (konsensus: RM4.55) menjelang akhir 2022.

 

"Ia seterusnya dijangka terus mengukuh kepada RM4.40 hingga RM4.45 (konsensus: RM4.35) menjelang akhir 2023," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, Goh mengekalkan sasaran asas KLCI bagi akhir tahun ini pada 1,630 mata memandangkan agregat pendapatan sesaham (EPS) tidak berubah. 

 

Sasaran itu disandarkan kepada 15.7x-0.5 SD di bawah kepada median 5 tahunnya pada 16.3x kerana kedua-dua pelabur asing dan tempatan berkemungkinan akan beralih semula kepada kedudukan belian menjelang akhir tahun di tengah-tengah keterlihatan yang lebih jelas kepada jangkaan pertumbuhan EPS 2023 sebanyak 7.1 % selepas pembentangan Bajet 2023, Jumaat ini.

 

"Namun, untuk jangka terdekat, turun naik aliran dana boleh memacu indeks dalam julat antara 1,400 hingga 1,600 mata kerana ekonomi domestik yang lebih kukuh mungkin disekat oleh beberapa faktor dalaman dan luaran.

 

"Ini terutamanya disebabkan kenaikan kadar AS yang terlalu agresif, kebimbangan stagflasi, turun naik pendapatan di tengah-tengah perubahan harga komoditi, kejutan rantaian bekalan apabila Rusia disisihkan daripada ekonomi global dan pelbagai khabar angin yang tercetus menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15)," katanya.

 

Sehubungan itu, beliau mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan, minyak dan gas, automotif, teknologi, pelabuhan, hartanah dan media. - DagangNews.com