Pelabur asing jual RM23 bilion ekuiti Malaysia - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM23 bilion ekuiti Malaysia - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Malaysia menyaksikan penjualan ekuiti negara sehingga RM23 bilion oleh pelabur-pelabur asing bermula awal tahun 2020 hingga setakat ini. 

Dalam perbandingan tiga buah pasaran ekuiti di Asia Tenggara pada minggu lalu, Indonesia mencatatkan aliran keluar asing paling rendah, manakala Thailand mencatatkan data yang tertinggi. 

MIDF Research berkata, pada minggu lalu, pelabur asing merupakan penjual bersih (net seller) iaitu sebanyak RM190.04 juta. 

“Ini merupakan minggu kedua di mana kadar aliran keluarnya perlahan. Secara terkumpul pada Oktober 2020, pelabur asing mencatatkan jualan ekuiti Malaysia sebanyak RM669.52 juta.

“Memandangkan pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing telah membeli RM89.80 juta ekuiti tempatan dengan institusi runcit dan tempatan masing-masing menjual RM27.19 juta dan RM62.61 juta,” kata MIDF Research dalam laporan aliran dana hari ini. 

Dari segi penyertaan runcit, pelabur runcit pada minggu lalu beralih kepada pembeli bersih dengan jumlah ekuiti RM106.43 juta, manakala pelabur institusi membeli RM83.61 juta pada tempoh sama. 

Ini adalah minggu ketiga di mana terdapat pembelian bersih yang lebih tinggi daripada pelabur runcit setelah tiga minggu berturut-turut menjadi penjual bersih.

“Ini isyarat yang berpotensi untuk mengembalikan selera membeli dalam kalangan pelabur runcit dengan aktiviti pemburuan saham murah, minat yang kembali terhadap saham sarung tangan ketika kes COVID-19 meningkat semula dan ketidaktentuan politik Malaysia,” tambah MIDF.

Pada minggu lalu, sebilangan besar pasaran ekuiti di seluruh dunia berakhir negatif dengan penjualan tertinggi pada hari Jumaat didorong kebimbangan terhadap kes COVID-19. 

Kes COVID-19 yang meningkat semula di ekonomi-ekonomi utama Barat mencetuskan kebimbangan pemulihan ekonomi. 

Di Malaysia, ekonomi kekal dalam landasan pemulihan, disokong oleh pemulihan domestik serta peningkatan eksport ketika kebimbangan terhadap kes COVID-19. - DagangNews.com