Pelabur asing jual RM357.7 juta ekuiti tempatan minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM357.7 juta ekuiti tempatan minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pelabur asing menjual ekuiti tempatan sebanyak RM357.7 juta untuk minggu kedua berturut-turut.

 

MIDF Research berkata, mereka merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM164.3 juta pada Isnin, RM76.3 juta pada Selasa dan RM265.7 juta pada Khamis.

 

Bagaimanapun, mereka menjadi pembeli bersih sebanyak RM18 juta pada Rabu dan RM130.7 juta pada Jumaat.

 

"Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah produk & perkhidmatan perindustrian (RM104.4 juta), teknologi (RM67.6 juta), dan hartanah (RM34.7 juta), manakala sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM206.9 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM131.4 juta), dan pembinaan (RM110.1 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 28 Jun 2024, hari ini.

 

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan mengekalkan sokongan terhadap bursa tempatan, menandakan pembelian bersih minggu kedua berturut-turut berjumlah RM354.9 juta.

 

Begitu juga, peruncit tempatan juga meneruskan trend belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut, berjumlah RM2.7 juta.

 

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan semua kelas pelabur minggu lepas.

 

Pelabur asing mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 34.4% manakala peruncit tempatan dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 19.5% dan 15.1%. - DagangNews.com