Pelabur asing jual RM589.58 juta saham Malaysia minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM589.58 juta saham Malaysia minggu lalu

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Malaysia menyaksikan penjualan ekuiti oleh pelabur asing meningkat kepada RM589.58 juta pada minggu lalu berbanding RM485 juta pada minggu sebelumnya. 

Menurut laporan mingguan MIDF Research, setakat ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM20.94 bilion ekuiti di pasaran saham Bursa Malaysia. 

Jelasnya, setelah pasaran saham dibuka semula pada Selasa minggu lalu, pelabur asing telah menjual sebanyak RM379.9 juta ekuiti bersih Malaysia. 

“Peruncit dan institusi tempatan merupakan pembeli saham itu masing-masing pada nilai RM199.95 juta dan RM179.97 juta.

“Penjualan saham asing meneruskan momentum sehingga penghujung minggu lalu. Aliran keluar bersih terbesar yang dicatatkan pada minggu lalu adalah pada Selasa bernilai RM379.9 juta dan terendah pada Rabu, RM25.97 juta,” jelas laporan itu.

Antara tiga pasaran saham di Asia Tenggara, Filipina mencatatkan aliran keluar asing yang terendah pada minggu lalu dengan Thailand menduduki tangga teratas. 

“Korea Selatan menyaksikan aliran keluar ekuiti tertinggi di mana hampir separuh jumlah keseluruhan enam pasaran Asia lain,” tambah MIDF Research.

Dalam pada itu, pelabur runcit mencatatkan penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 22.67% dengan pelabur asing menurun sebanyak 27.97%.

Di peringkat serantau, rentetan pembelian bersih asing selama tiga minggu terhenti minggu lalu, dengan pelabur asing menjual sekitar AS$ 3.62 bilion ekuiti. - DagangNews.com