Pelabur asing kembali jual ekuiti tempatan berjumlah RM163.64 juta | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali jual ekuiti tempatan berjumlah RM163.64 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Pelabur asing kembali menjual ekuiti tempatan setelah 7 minggu berturut-turut menyaksikan aliran masuk asing. 

 

Dalam laporan aliran dana MIDF Reserah bagi minggu berakhir 26 November, sebanyak RM163.64 juta ekuiti dilupuskan pelabur asing. 

 

"Mereka menjual ekuiti setiap hari pada minggu lalu dengan aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Isnin sebanyak RM82.44 juta," katanya hari ini.

 

Pada minggu lalu, pelabur institusi tempatan dan runcit masing-masing membeli bersih ekuiti apabila pasaran dibuka pada Isnin berjumlah RM37.33 juta dan RM45.11 juta. 

 

Menurut firma itu, pelabur runcit membeli bersih ekuiti setiap minggu lalu kecuali pada Jumaat yang menyaksikan penjualan ekuiti sebanyak RM7.72 juta. 

 

"Sepanjang minggu itu, pelabur runcit membeli RM109.5 juta ekuiti tempatan di Bursa Malaysia," tambahnya.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula merekodkan jualan ekuiti sebanyak RM54.16 juta. 

 

"Ia menyaksikan jualan paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM16.3 juta manakala aliran masuk bersih pada Jumaat sebanyak RM50.49 juta," katanya.

 

MIDF Research berkata, sejak awal tahun ini, secara kumulatif, pelabur runcit masih merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan yang setakat ini berjumlah RM11.7 bilion. 

 

Pelabur institusi tempatan dan pelabur asing pula masing-masing melupuskan ekuiti dalam pasaran tempatan sebanyak RM9.85 bilion dan RM1.85 bilion. 

 

Bagi sepanjang minggu lalu, menurut firma itu, pasaran ekuiti di seluruh dunia mengalami kerugian ekoran kebimbangan tercetusnya varian baharu COVID-19. 

 

Pasaran tempatan pula susut 0.87% dipengaruhi prospek inflasi Malaysia yang meningkat kepada 2.9% tahun ke tahun pada Oktober 2021. 

 

"Ringgit pula susut kira-kira 1.33% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.2385 pada Jumaat lalu," jelasnya. - DagangNews.com