Pelabur institusi tempatan jual hampir RM300 juta ekuiti minggu lalu  | DagangNews Skip to main content

Pelabur institusi tempatan jual hampir RM300 juta ekuiti minggu lalu 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan buat minggu ketujuh berturut-turut meskipun menyaksikan aliran masuk yang lebih kecil, menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan. 

 

Bagi minggu berakhir 19 November, firma itu mendapati, pelabur asing membeli RM66.61 juta ekuiti tempatan berbanding RM359.14 juta minggu sebelumnya. 

 

Katanya, apabila pasaran dibuka pada Isnin minggu lalu, mereka menjadi pembeli bersih ekuiti sebanyak RM63.97 juta. 

 

"Mereka membeli ekuiti hampir kebanyakan hari pada minggu lalu kecuali Jumaat. Aliran masuk tertinggi direkodkan pada Isnin manakala aliran keluar direkodkan pada Jumaat sebanyak RM84.37 juta," katanya hari ini. 

 

Sebaliknya, MIDF Research berkata, pelabur institusi tempatan menjual bersih ekuiti sepanjang minggu lalu berjumlah RM294.99 juta. 

 

"Mereka menjual ekuiti setiap hari kecuali Jumaat yang mencatat aliran masuk sebanyak RM31.88 juta. 

 

"Aliran keluar paling tinggi pula direkodkan pada Isnin sebanyak RM121.97 juta," tambahnya.

 

Bagaimanapun, pelabur runcit kekal masih membeli ekuiti tempatan sebanyak RM228.38 juta sepanjang minggu lalu.

 

Aliran masuk tertinggi direkodkan pada Isnin sebanyak RM58.18 juta manakala paling rendah pada Khamis, berjumlah RM22.99 juta.

 

MIDF Research mendapati sejak awal tahun ini, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan sebanyak RM11.59 bilion. 

 

"Pelabur institusi tempatan dan asing pula masing-masing menjual ekuiti di Bursa Malaysia berjumlah RM9.9 bilion dan RM1.68 bilion," jelasnya. 

 

Pada minggu lalu, firma itu berkata, indeks utama FBM KLCI susut 0.37% untuk berakhir pada 1,525.54 mata manakala ringgi juga susut 0.42% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.1830 pada Jumaat. - DagangNews.com