Pelabur institusi tempatan paling banyak jual ekuiti minggu lalu berjumlah RM93 juta | DagangNews Skip to main content

Pelabur institusi tempatan paling banyak jual ekuiti minggu lalu berjumlah RM93 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Setelah 7 minggu berturut-turut merekodkan aliran keluar, pelabur asing pada minggu lalu kembali membeli ekuiti tempatan pada jumlah yang kecil sebanyak RM14.07 juta. 

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya mendapati pelabur asing menjual RM21.96 juta ekuiti apabila pasaran dibuka semula pada Isnin. 

 

Ini diikuti pelabur institusi tempatan menjual RM43.91 juta manakala pelabur runcit membeli RM65.87 juta ekuiti tempatan. 

 

"Sepanjang minggu berakhir 13 Ogos, pelabur asing menjual bersih ekuiti selama 2 hari dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Khamis manakala paling rendah pada Isnin masing-masing sebanyak RM25.9 juta dan RM21.96 juta. 

 

"Pada Rabu dan Jumaat pula, menyaksikan pelabur asing membeli ekuiti masing-masing berjumlah RM30.58 juta dan RM31.35 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka membeli ekuiti hampir separuh pada minggu lalu. Pembelian terbesar direkodkan pada Isnin sebanyak RM65.87 juta manakala paling rendah pada Isnin sebanyak RM30.96 juta.

 

"Secara terkumpul, pelabur runcit membeli RM78.96 juta ekuiti tempatan di Bursa Malaysia," katanya. 

 

Pelabur institusi tempatan pula merekodkan aliran keluar sebanyak RM93.04 juta minggu lalu dan menjual paling banyak ekuiti pada Jumaat sebanyak RM62.31 juta. 

 

Menurut MIDF Research, secara kumulatif, pelabur runcit masih merupakan satu-satunya pembeli ekuiti tempatan sejak awal tahun yang setakat ini berjumlah RM9.38 bilion. 

 

Ia diikuti dengan pelabur institusi tempatan dan pelabur asing dengan masing-masing menjual ekuiti sebanyak RM3.4 bilion dan RM5.98 bilion. - DagangNews.com