Pelabur institusi tempatan sudah jual RM1 bilion ekuiti di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur institusi tempatan sudah jual RM1 bilion ekuiti di Bursa Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Mac - Pelabur asing merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan bagi minggu berakhir 18 Mac 2022 yang mencatat aliran masuk berjumlah RM1.18 bilion. 

 

Dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research, didapati aliran masuk itu didorong aktiviti memburu saham murah dalam pasaran tempatan.

 

Menurutnya, dana antarabangsa merupakan pembeli bersih ekuiti bagi tempoh 9 daripada 11 minggu setakat tahun ini. 

 

"Kami dapati, pada minggu lalu, aliran masuk ekuiti asing adalah paling tinggi tahun ini mencecah RM1.18 bilion, berbanding bagi minggu berakhir 4 Mac lalu, RM1.08 bilion," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Apabila pasaran dibuka Isnin lalu, pelabur asing memberi RM219.24 juta ekuiti manakala pelabur runcit pula beli RM35.27 juta ekuiti. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan memulakan dagangan minggu lalu dengan menjual ekuiti sebanyak RM254.5 juta.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing terus menjadi pembeli bersih setiap hari sejak 7 Februari lalu dengan aliran masuk tertinggi minggu direkodkan pada Rabu sebanyak RM396.27 juta. 

 

Aliran masuk paling rendah pula direkodkan pada Selasa berjumlah RM31.18 juta. 

 

"Sepanjang minggu lalu, pelabur institusi tempatan merupakan penjual ekuiti yang aktif dengan aliran keluar paling banyak direkodkan pada Rabu sebanyak RM330.39 juta manakala paling rendah pada Jumaat, RM23.14 juta," katanya.

 

Bagi pelabur runcit pula, ia menyaksikan jualan ekuiti setiap hari sepanjang minggu kecuali Isnin (RM35.27 juta) dan Selasa (RM9.28 juta).

 

Pelabur runcit paling banyak menjual ekuiti pada Khamis sebanyak RM145.89 juta manakala paling rendah pada Jumaat, RM8.67 juta.

 

Menurut firma itu, secara keseluruhan bagi minggu ke-11 tahun ini, pelabur asing membeli RM1.2 bilion ekuiti.

 

"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan sudah menjual sebanyak RM1 bilion ekuiti diikuti pelabur runcit RM175.88 juta," katanya.

 

Dari segi penyertaan pelabur, ia menyaksikan pelabur asing, institusi tempatan dan runcit masing-masing mencatat pergerakan mingguan sebanyak 64.5%, -19.68% dan -23.96% dari segi nilai purata dagangan harian (ADTV).

 

MIDF Research juga mendapati, bagi asas tahun sehingga kini, pelabur asing mencatat aliran masuk sebanyak RM1.3 bilion manakala RM500 juta daripada pelabur runcit.

 

"Sementara itu, pelabur institusi tempatan masih merupakan satu-satunya penjual ekuiti berjumlah RM6.1 bilion," tambahnya. - DagangNews.com