Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Jan. - Bursa Malaysia menyaksikan pelabur institusi tempatan menjadi penjual terbesar ekuiti pada minggu lalu.
Malah, nilai jualan kategori pelabur itu mencecah paras tertinggi sejak 14 Ogos 2020, berjumlah RM649.4 juta.
CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya mendedahkan, pelabur itu menjual paling banyak saham dari sektor perkhidmatan kewangan (-RM298.5 juta), perladangan (-RM147.2 juta) dan produk pengguna (-RM92 juta).
Namun, mereka membeli banyak saham dari sektor penjagaan kesihatan bernilai RM86.5 juta, jelas CGS-CIMB.
“Ini merupakan penjualan lima minggu berturut-turut ekoran pengambilan keuntungan. Tiga saham yang menyaksikan aliran keluar tertinggi daripada pelabur institusi domestik pada minggu lalu adalah Public Bank Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan FGV Holdings Berhad.
“Tiga saham yang menyaksikan aliran masuk tertinggi adalah Top Glove Corporation Berhad, Hartalega Holdings Berhad dan Bursa Malaysia Berhad,” jelas nota kajian itu.
Pada Disember 2020, tiga saham teratas yang dibeli oleh pelabur institusi tempatan adalah CIMB Group Holdings Berhad, TNB dan MISC Berhad, manakala Top Glove, FGV dan Public Bank paling banyak dijual.
Dalam pada itu, pelabur runcit kekal menyumbang kepada aliran masuk terbesar ekuiti Malaysia pada minggu lalu, berjumlah RM690.5 juta.
Nilai aliran masuk itu merupakan catatan tertinggi sejak 7 Ogos 2020, ujar CGS-CIMB.
Firma penyelidik itu juga mendapati pelabur asing menjual sebanyak RM334 juta ekuiti pada minggu lalu, nilai tertinggi sejak minggu yang berakhir pada 11 Disember 2020.
“FBM KLCI jatuh 1.5% pada hari pertama dagangan kerana pelaksanaan semula jualan singkat.
“Bagaimanapun, pasaran melonjak semula menghampiri penghujung minggu berkenaan dan ditutup 0.4% lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.
“Purata jumlah dagangan harian jatuh sebanyak 1% kepada 7.8 unit, tetapi purata nilai dagangan harian meningkat 42% kepada RM5.35 bilion berbanding minggu sebelumnya,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com