Pelabur perlu ambil kira risiko cabaran global yang berterusan - Principal Asset | DagangNews Skip to main content

Pelabur perlu ambil kira risiko cabaran global yang berterusan - Principal Asset

KUALA LUMPUR 2 Nov - Principal Asset Management mengingatkan pelabur untuk mengambil kira isu seperti cabaran global yang menjejaskan pasaran modal berterusan termasuk berkemungkinan besar menular kepada situasi lain.

 

Ketua Pegawai Pelaburan dan Peruntukan Asetnya, Todd Jablonski berkata, isu seperti konflik Amerika Syarikat (AS)-China, ketegangan Rusia-Ukraine serta keadaan di Eropah, sememangnya sukar diselesaikan dan menjadi antara perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pelabur.

 

“Mereka perlu memberi tindak balas terhadap maklumat baharu membabitkan cabaran itu serta menilai sama ada itulah risiko yang mereka sanggup hadapi.

 

“Pada masa ini, adalah mustahil untuk membuat unjuran mengenai aliran cabaran tersebut. 

 

"Walaupun (cabaran ekonomi) sukar berakhir dalam masa terdekat seperti diharapkan, tetapi ketiadaan perkara buruk lain sekurang-kurangnya memberi sedikit harapan kepada pelabur,” katanya pada sidang media di Sidang Kemuncak Principal Asia Pasifik 2022, hari ini lapor Bernama.

 

Sementara itu, dari segi komoditi pula, Ketua Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti Principal bagi Asia Tenggara, Patrik Chang berkata Malaysia yang juga pengeksport bersih minyak, gas dan perladangan secara amnya mampu meraih manfaat daripada aliran kenaikan harga komoditi di peringkat global.

 

Namun, katanya, kekangan terhadap persepsi sedemikian adalah isu membabitkan rantaian bekalan yang terjejas sepanjang tahun akibat sekatan COVID-19, pertikaian perdagangan AS-China serta krisis Rusia-Ukraine.

 

“Jika harga komoditi itu terus meningkat, ini akan menyebabkan lebihan akaun semasa Malaysia berterusan dan membolehkannya berada pada kedudukan baik. 

 

"Ini sekali gus dapat memberi manfaat untuk Malaysia bagi jangka pendek dan pertengahan," katanya.

 

Mengulas prospek kewangan Islam, Ketua Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Principal Malaysia, Munirah Khairuddin berkata Malaysia wajar lebih inovatif dari segi penyediaan penyelesaian global dan seterusnya menerapkan teknologi dalam asas atau strukturnya yang dapat memberi kelebihan dalam senario persaingan yang kian ketara.

 

“Kita telah mewujudkan struktur kewangan Islam dan mengukir nama dalam industri ini. Namun, kita perlu berusaha untuk melonjakkannya ke tahap seterusnya yang dapat membezakan Malaysia daripada pasaran lain. 

 

“Selain itu, kita juga perlu melihat semula Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) dan melancarkannya semula dengan memasukkan penyelesaian global baharu bagi menarik bentuk pelaburan baharu seperti pelbagai aset tidak kiralah sama ada ianya aset ekuiti persendirian, hartanah dan aset sebenar,” katanya. - DagangNews.com