Pelabur runcit muda hampir 'penuhi' pasaran ekuiti 2020 | DagangNews Skip to main content

Pelabur runcit muda hampir 'penuhi' pasaran ekuiti 2020

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Sebanyak 64% akaun individu baharu di pasaran ekuiti Bursa Malaysia yang dibuka bermula awal tahun lalu merupakan pelabur dalam lingkungan umur 26 hingga 45 tahun. 

 

Malah, pelabur yang berusia antara 35 hingga 54 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada purata nilai dagangan (ADV) bagi kelompok pelabur runcit. 

 

Statistik itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Omar Swift pada majlis penyampaian prestasi tahun kewangan 2020 (FY20) organisasi itu secara maya hari ini. 

 

“Peningkatan pelabur milenium merupakan perkembangan positif bagi kemampanan pasaran untuk jangka masa panjang memandangkan mereka merupakan pemacu utama pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial,” katanya. 

 

Turut serta pada majlis tersebut, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Kewangan Bursa Malaysia, Rosidah Baharom.

 

TANGKAP layar penyampaian prestasi FY20 Bursa Malaysia secara maya hari ini. Dari kiri, Rosidah, Abdul Wahid dan Muhamad Omar.
TANGKAP layar penyampaian prestasi FY20 Bursa Malaysia secara maya hari ini. Dari kiri, Rosidah, Abdul Wahid dan Muhamad Omar.

 

Ketika diminta mengulas mengenai momentum pelabur runcit memasuki tahun ini, Muhamad Omar mengharapkan bahawa pelaburan yang dibuat lebih berjangka masa panjang. 

 

Baca : RM377.7 juta, untung bersih Bursa Malaysia tertinggi sejak 2005

 

Jelasnya, tidak dinafikan kelompok itu merupakan pemacu pasaran ekuiti tahun lalu, namun dalam masa sama, Bursa Malaysia menantikan penyertaan pelabur dari institusi asing. 

 

Menurut beliau, paras dagangan setakat bulan lalu mencatatkan kira-kira RM5 bilion. 

 

Dari segi penyenaraian syarikat baharu di pasaran Bursa Malaysia, Muhamad Swift sangat yakin terhadap prospek tawaran awam awal (IPO) bagi tahun ini. 

 

“Jika ada yang ‘mengintai’ pasaran modal, ini (Bursa Malaysia) perlu mereka lihat. 

 

“Kami berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi memberi ruang kepada banyak peserta untuk melabur dengan keyakinan tinggi,” ujarnya lanjut.

 

Dalam masa sama, beliau meletakkan hasrat untuk memacu syarikat tersenarai awam ke arah matlamat tadbir urus alam sekitar, sosial, dan korporat (ESG). 

 

Jelas Muhamad Omar, sebanyak 76 syarikat yang layak untuk Indeks FTSE4Good setakat ini, yang merupakan penanda aras bagi pematuhan ESG. - DagangNews.com