Pelabur runcit sudah beli RM10 bilion ekuiti tempatan  | DagangNews Skip to main content

Pelabur runcit sudah beli RM10 bilion ekuiti tempatan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Aliran masuk asing dalam pasaran ekuiti tempatan terus menyusut kepada RM125.97 juta bagi minggu berakhir 17 September berbanding minggu sebelumnya, RM433.16 juta. 

 

Menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research, pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan buat 6 minggu berturut-turut. 

 

"Apabila pasaran dibuka semula Isnin lalu, mereka membeli ekuiti sehingga RM58.39 juta manakala pelabur institusi tempatan pula menjual ekuiti sebanyak RM121.89 juta. 

 

"Pelabur asing membeli bersih ekuiti setiap hari minggu lalu kecuali pada Jumaat yang menyaksikan aliran masuk asing direkodkan paling banyak pada Rabu sebanyak RM76.96 juta," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

Pada Jumaat, tambahnya. mereka menjual bersih ekuiti sebanyak RM72.65 juta. 

 

Sementara itu, bagi pelabur runcit, mereka membeli bersih ekuiti setiap hari sepanjang minggu lalu. 

 

Pembelian paling banyak ekuiti direkodkan pada Jumaat sebanyak RM81.57 juta manakala paling rendah pada Rabu sebanyak RM6.97 juta. 

 

"Secara terkumpul, pelabur runcit membeli RM211.55 juta ekuiti tempatan di Bursa Malaysia," jelasnya. 

 

MIDF Research berkata, pelabur institusi tempatan pula merekodkan jualan ekuiti sebanyak RM337.92 juta minggu lalu. 

 

"Mereka menjual ekuiti setiap hari dengan paling banyak direkodkan pada Selasa sebanyak RM123.18 juta manakala terendah pada Jumaat, RM8.92 juta," katanya. 

 

Sejak awal tahun ini, menurut firma itu, pelabur runcit kekal menjadi satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan sebanyak RM10.04 bilion. 

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan pula menjual RM6.38 bilion ekuiti manakala pelabur asing pula menjual RM3.66 bilion. 

 

Bagi minggu berakhir 17 September itu juga, FBM KLCI menyusut 1.74% sebelum mengakhiri dagangan pada 1,548.51 mata. 

 

Ringgit turut menyusut 0.87% berbanding dolar Amerika Syarikat untuk ditutup pada RM4.1715 pada Jumaat. - DagangNews.com