Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Ketika kebanyakan pelabur lain menjual ekuiti Malaysia, kategori pelabur runcit sebaliknya meneruskan momentum pembelian mereka.
Setakat minggu lalu, momentum pembelian bersih kategori berkenaan berkembang 421% kepada RM702 juta berbanding minggu sebelumnya.
Menurut CGS-CIMB Research, kedudukan pembelian bersih pelabur runcit setakat ini menokok kepada RM2.8 bilion.
“Pelabur runcit membeli ekuiti dalam sektor teknologi, kewangan dan penjagaan kesihatan.
“Tiga pembelian bersih teratas pelabur runcit pada minggu lalu adalah Public Bank Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Supermax Corporation Berhad,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Ini diikuti oleh pelabur penama tempatan yang meneruskan pembelian selama tujuh minggu berturut-turut, jelas CGS-CIMB.
CGS-CIMB berkata, momentum pembelian bersih kategori itu melonjak sebanyak 22% kepada RM200 juta berbanding minggu sebelumnya dengan pembelian bersih bernilai RM1,098 juta.
Mereka membeli banyak saham TNB, Genting Berhad dan Serba Dinamik Holdings Berhad.
Namun, prestasi berbeza ditonjolkan oleh ketiga-tiga pelabur asing, institusi tempatan dan pelabur hak milik yang masing-masing menjadi penjual ekuiti bersih pada minggu lalu.
Bagi pelabur asing, kategori itu meningkatkan penjualan bersih mereka sehingga 1049% kepada RM466.3 juta minggu ke minggu, jelas CGS-CIMB.
“Pelabur institusi tempatan meneruskan penjualan bersih bagi 11 minggu berturut-turut dan meningkatkan jualan bersih mingguan kepada RM435.2 juta ekuiti pada minggu lalu daripada -RM278.1 juta pada dua minggu sebelumnya.
“Pelabur hak milik beralih kepada penjual bersih pada minggu lalu, melebarkan penjualan bersih terkumpul mereka kepada RM61 juta setakat ini,” tambah CSG-CIMB.
Menurut CGS-CIMB, indeks penanda aras pasaran ekuiti Malaysia, FBM KLCI menyusut 0.9% pada minggu lalu, memandangkan terdapat pengambilan untung dalam sektor kewangan (-1.1%) dan penjagaan kesihatan (-0.6%) yang ‘menyuramkan’ lonjakan dalam sektor tenaga (+9.9%) dan telekomunikasi (+5.6%).
Sektor tenaga, terutamanya dipacu oleh harga minyak mentah yang kian meningkat, manakala sektor telekomunikasi mungkin didorong oleh pelancaran MyDigital, ujar CGS-CIMB.
“Sebanyak 11 daripada 13 indeks pensektoran menunjukkan pulangan positif pada minggu lalu, berbanding pada minggu sebelumnya,” jelas CGS-CIMB lanjut.
Dari segi penjualan singkat yang dikawal selia (RSS) pula, purata nilai dagangan hariannya melonjak kepada RM36.2 juta pada minggu lalu daripada RM31.1 juta pada dua minggu sebelum ini.
Untuk rekod, penggantungan RSS di Bursa Malaysia telah ditarik semula berkuatkuasa 1 Januari 2021.
Jelas CGS-CIMB, Top Glove Corporation Berhad, Hartalega Holdings Berhad dan Supermax merupakan sasaran jualan singkat tertinggi pada minggu lalu dari segi nilai. - DagangNews.com