Pelaburan langsung asing tahun lalu terendah sejak 2009 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pelaburan langsung asing tahun lalu terendah sejak 2009 - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu RM10 bilion menurut laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) adalah terendah sejak tahun 2009. 

 

Menurut penganalisis ekonomi dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kurnia Insurance, Pankaj Kumar, FDI pada tahun 2009 hanya mencatatkan nilai RM5.1 bilion disebabkan Krisis Kewangan Global 2008.

 

“Sebagai sebuah negara, kita perlu mengkaji semula mengapa Malaysia gagal menarik FDI yang betul. Pada masa yang sama, kita harus menganalisis mengapa negara-negara jiran berterusan dapat menarik FDI.

 

“Pandemik COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk kemasukan FDI yang lemah, kerana telah terbukti negara-negara ASEAN lain berupaya menarik pelaburan baharu,” ujar beliau dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Berdasarkan laporan itu, Malaysia menyaksikan FDI menjunam sehingga 68% pada tahun lalu, di mana salah satu helaiannya dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook miliknya.

 

Baca : 2020 : Pelaburan langsung asing Malaysia menjunam 68%

 

Laporan UNCTAD itu juga menunjukkan Filipina meraih kenaikan 29% dari segi FDI, manakala negara ASEAN lain mempamerkan prestasi lebih baik berbanding Malaysia.

 

“Beberapa bulan kebelakangan ini, Indonesia telah menarik perniagaan terkemuka termasuk Hyundai yang memindahkan perniagaan bernilai RM6.27 bilion (AS$1.55 bilion) dari Malaysia dan Toyota, yang membuka usaha sama kereta elektrik bernilai RM8 bilion (AS$2 bilion). 

 

“Malah Elon Musk mempertimbangkan untuk membuka kilang Tesla di Indonesia,” tambah Panka.

 

Beliau percaya pembaharuan polisi bagi menghapuskan kerenah birokrasi, mengekang jenayah ekonomi dan meningkatkan modal insan Malaysia merupakan strategi penting yang boleh menambah baik daya saing negara di dalam usaha menarik FDI.

 

Menurutnya, Malaysia memerlukan perubahan dasar awam bagi menghapuskan kerenah birokrasi dan menarik FDI berkualiti.

 

“Dasar-dasar berkaitan yang mengehadkan pemilikan ekuiti asing di dalam sektor khusus serta halangan membenarkan syarikat asing membawa tenaga kerja berkemahiran tinggi mereka sendiri, juga hendaklah dikaji semula,” ujarnya lanjut. 

 

Dalam masa sama, jenayah ekonomi seperti skandal kewangan, isu penyeludupan dan pasaran rokok seludup, di mana Malaysia kini memiliki insiden rokok seludup tertinggi di dunia, telah mengakibatkan para pelabur beralih ke tempat lain, tegasnya.

 

Kata beliau lagi, pelabur asing semestinya akan membatalkan niat disebabkan persepsi kes rasuah dan pelanggaran undang-undang yang berleluasa. 

 

"Lihat industri tembakau contohnya. Kadar tinggi dagangan rokok seludup telah mengakibatkan pengilang utama rokok seperti Phillip Morris International, British American Tobacco Malaysia Berhad dan Japan Tobacco International menutup kilang mereka masing-masing pada 2012, 2016 dan 2017. 

 

“Hampir seribu kakitangan kehilangan kerja dan ekosistem sokongan perniagaan dan perkhidmatan bernilai berbilion ringgit hapus sama sekali.

 

“Norma baharu akan membawa kita kepada cabaran dan peluang berbeza. Himpunan bakat sedia ada dan akan datang kita hendaklah berupaya untuk menerap, berinovasi dan cukup dilengkapi dalam  menyaingi kehendak perubahan persekitaran bagi memberikan alasan yang terbaik untuk pertubuhan berorientasi global melabur di Malaysia,” jelas Pankaj. - DagangNews.com