KUALA LUMPUR 1 Sept - Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana kuasa Pulau Bunting di Yan, Kedah yang menarik pelaburan RM14.4 bilion bakal meletakkan negeri itu sebagai hab serantau dalam industri petroleum.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan Kumpulan MMC membuat pelaburan di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini bakal mengubah landskap sosioekonomi penduduknya.
Malah, beliau yakin pelaburan itu mampu melonjakkan nama Yan dan negeri Kedah khususnya, sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini.
"Kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek ini yang melibatkan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di kawasan utara.
"Komponen terbabit melibatkan Hab STS Yan yang akan menyediakan perkhidmatan pemindahan kargo produk petroleum, terutamanya LNG, secara ship to-ship," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana kuasa Pulau Bunting, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ismail Sabri berkata, kedudukan daerah Yan yang strategik, di pintu masuk utara Selat Melaka, mampu menjadikannya hab serantau di Asia Tenggara bagi aktiviti perdagangan dan simpanan LNG serta pengimportan LNG bagi kegunaan domestik.
Menurutnya, komponen kedua yang bakal dibina di sini ialah Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitar Padu dengan kapasiti 1,400MW yang turut dapat menjamin bekalan tenaga elektrik untuk negara, khususnya bagi wilayah utara Semenanjung Malaysia.
"Kesemua prasarana ini penting jika kita mahu menjadikan Kedah terutama kawasan tengah negeri ini menjadi sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perindustrian untuk jangka masa panjang," katanya.
Komponen yang ketiga pula adalah terminal penghasilan semula gas berupa kapal terapung (FSRU atau FSU) yang bakal berlabuh di pesisiran pantai Yan yang dikenali sebagai RGT Yan.
Katanya, ia merupakan sebuah kemudahan bebas yang membenarkan pihak pengimport membawa masuk LNG untuk pengguna di Semenanjung.
"RGT Yan menawarkan prasarana lengkap bagi bekalan, import, perdagangan, peruncitan dan penggunaan gas asli yang lebih cekap dan kos efektif di Semenanjung Malaysiaterutamanya di NCER.
"Saya percaya RGT Yan dapat menggalakkan aktiviti ekonomi yang mampan kepada negara terutama di daerah Yan dan wilayah utara sekali gus meningkatkan taraf hidup dan landskap sosioekonomi penduduk di kawasan ini," jelasnya.
Beliau juga berkata, selain bakal berubah seperti daerah Pengerang di Johor yang asalnya merupakan sebuah perkampungan nelayan, yang kemudiannya membangun pesat sebagai kawasan perindustrian, penduduk Yan terutamanya, golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan. - DagangNews.com