Pelaburan RM16 bilion di NCER, bukti keyakinan pelabur - PM | DagangNews Skip to main content

Pelaburan RM16 bilion di NCER, bukti keyakinan pelabur - PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-26 pagi tadi.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun -  Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang meraih pelaburan bernilai RM16 bilion pada 2021 dan bakal mewujudkan 19,652 peluang pekerjaan membuktikan keyakinan para pelabur terhadap usaha kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

 

Perkara itu diumumkan pada Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-26 yang diadakan secara sidang video dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

  

Pada mesyuarat yang sama, beliau turut menyaksikan lapan buah syarikat menyatakan komitmen pelaburan berimpak tinggi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis. 

 

Muhyiddin berkata, pelaburan yang menggalakkan itu menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap asas-asas ekonomi negara ini walaupun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang masih berterusan sejak tahun lalu.

 

Menurutnya, komitmen pelaburan dan peluang pekerjaan yang bakal disediakan juga adalah tanda keyakinan komuniti pelabur terhadap daya maju Malaysia dan negeri-negeri NCER.

 

"Di bawah Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan 15 Jun lalu, kerajaan berusaha untuk memberikan vaksin kepada sebanyak mungkin populasi di Malaysia menjelang akhir tahun ini atau lebih awal. 

 

"Ini akan membantu memulihkan situasi pandemik yang sedang melanda termasuk aktiviti-aktiviti perniagaan dan ekonomi," katanya. 

 

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

 

Pada majlis berkenaan, dua pelabur perintis telah bersetuju untuk menyuntik pelaburan kumulatif bernilai RM1.55 bilion dalam projek Kedah Rubber City (KRC), iaitu Taman Perindustrian Getah yang pertama di Malaysia. 

 

Pembangunan kemudahan infrastruktur di KRC kini mendahului jadual dan pelaksanaan projek pelabur akan bermula suku keempat 2021 dan seterusnya.

 

Pelabur-pelabur terlibat adalah Hong Seng Industries Sdn Bhd (RM1.5 bilion) dan LTS Logistics Sdn. Bhd. (RM55 juta). 

 

Secara keseluruhannya, pelaburan oleh kedua-dua syarikat ini dijangka mewujudkan 2,630 peluang pekerjaan.

 

Selain itu, NCER turut menarik pelaburan dalam industri peralatan perubatan, yang telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam tempoh ini. 

 

Aspen Glove Sdn Bhd melabur RM4.5 bilion di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) untuk mengeluarkan sarung tangan pembedahan Nitrile dan Getah Asli. 

 

Sementara itu, Ammorium Resources Sdn Bhd akan melabur sebanyak RM1.4 bilion untuk merancang, membangun dan mengeluarkan produk-produk sarung tangan ujian gred perubatan nitril di Tronoh, Perak.

 

Industri elektrikal dan elektronik (E&E) terus menjadi penjana utama pertumbuhan di NCER. Syarikat yang berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang, iaitu Intel Technology Sdn Bhd dan Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd, kedua-duanya anak syarikat milik penuh syarikat yang tersenarai di dalam Fortune 500, akan melabur RM4.4 bilion dan dianggar mewujudkan sebanyak 1,593 peluang pekerjaan.

 

Sementara itu, Greatech Integration (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Batu Kawan, Pulau Pinang, sebuah syarikat tempatan dan penyedia perkhidmatan penyelesai bertaraf dunia dalam sektor automasi kilang, mesin dan kelengkapan industri E&E akan membuat pelaburan tambahan bernilai RM1.6 bilion untuk kemudahan-kemudahan baharu operasinya yang dijangka memulakan operasi pada suku keempat 2021. Ini dijangka mewujudkan 450 peluang pekerjaan.

 

Pelabur lain dari sektor E&E termasuklah Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd, yang menyuntik pelaburan sebanyak RM2.65 bilion untuk membina kemudahan fabrikasi wafer berteknologi tinggi dan bersepadu di KHTP.

 

Fasiliti ini adalah pusat kecekapan untuk fabrikasi wafer semikonduktor yang memfokuskan pada megatrends dalam teknologi pengurusan automotif dan pengurusan kuasa. Pelaburan Infineon akan mewujudkan 1,815 peluang pekerjaan baru.

 

Pelaburan oleh ketiga-tiga syarikat ini mencerminkan keyakinan industri terhadap ekonomi pasca pandemik di negara dan wilayah ini serta menunjukkan potensi sangat besar bagi sektor E&E pada masa hadapan.

 

Antara projek strategik lain di NCER adalah NCER Agriculture Economic Zone (NAEZ) di Chuping-Bukit Kayu Hitam dan Transkrian. 

 

NAEZ dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM6.1 bilion, menarik pelaburan swasta sejumlah RM5 bilion dan mewujudkan lebih 17,600 pelung pekerjaan menjelang 2025 untuk wilayah ini.

 

Selari dengan inisiatif NAEZ, FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh FGV Holdings Berhad pula kini dalam proses mengubah Chuping menjadi kawasan pertanian berskala besar untuk aktiviti-aktiviti pertanian utama. - DagangNews.com