Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Jumlah aset Islam di bawah pengurusan (AUM) berkembang kepada 24% daripada jumlah aset 2020 berbanding 22% pada tahun 2017.
Menurut laporan CGS-CIMB Research, saiz unit amanah saham Islam juga melonjak dengan pesat, merangkumi 24.7% daripada keseluruhan nilai aset bersih unit amanah saham pada Disember tahun lalu berbanding 2017 (18.2%).
Ini sekali gus menyaksikan jumlah aset Islam di bawah pengurusan bernilai RM217 bilion setakat Disember 2020, jelas firma penyelidik itu.
“Prestasi luar biasa yang berterusan dalam indeks syariah berbanding indeks konvensional mampu mendorong minat yang tinggi dalam pelaburan syariah,” ulas CGS-CIMB.
Setakat ini, terdapat empat indeks di Bursa Malaysia yang menilai pematuhan sekuriti syariah seperti FTSE Bursa Malaysia (FBM) Hijrah Shariah Index (FBM Hijrah), FBM EMAS Shariah Index (FBM Emas Shariah), FBM Small Cap Shariah Index (FBM Small Cap Shariah) dan FBM Mid Cap Shariah Index (FBM Mids Shariah).
Untuk rekod, FBM KLCI pula terdiri daripada 30 syarikat terbesar yang disenaraikan di Bursa Malaysia berdasarkan pasaran modal.
Malah, jelas CGS-CIMB, FBM Hijrah Shariah telah mendahului FBM KLCI selama tujuh daripada 10 tahun yang lalu, bermula 2011 hingga 2020.
Analisis mendalam CGS-CIMB mendedahkan salah satu kunci utama yang menentukan prestasi kedua-dua indeks itu adalah prestasi sektor perbankan.
Ini susulan enam daripada 30 konstituen di FBM KLCI merupakan bank-bank yang tidak patuh syariah sekali gus membentuk sekitar 32% daripada jumlah ‘weightage’ indeks itu setakat 29 Januari 2021.
“Indeks syariah mengatasi indeks konvensional sepanjang dua tahun kebelakangan ini. Sektor teknologi dan penjagaan kesihatan menunjukkan berprestasi terbaik pada tahun 2020.
“Indeks syariah cenderung mengatasi FBM KLCI atau FBM Emas apabila bank kurang berprestasi berbanding sektor pengguna, kesihatan, utiliti dan telekomunikasi,” tambah CGS-CIMB.
Setakat 31 Disember 2020, saiz pasaran modal Islam (ICM) Malaysia mencatatkan nilai RM2.2 trilion iaitu 66% daripada jumlah saiz pasaran modal, RM3.4 trilion.
Dalam pada itu, ekuiti syariah pula merangkumi 55% daripada ICM Malaysia dan 69% daripada jumlah permodalan pasaran ekuiti negara setakat penghujung tahun lalu.
Pasaran sukuk pula menyumbangkan 45% daripada ICM dan 63% daripada pasaran pendapatan tetap setakat tempoh yang sama. - DagangNews.com