Pelajar OKU tunjuk kemahiran buat roti di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu | DagangNews Skip to main content

Pelajar OKU tunjuk kemahiran buat roti di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu

Program tiga hari jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak turut melibatkan pembabitan Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut sama menampilkan kemahiran mereka dalam bidang bakeri. Penampilan istimewa itu melibatkan pelajar program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri yang menunjukkan demonstrasi membuat roti dan pastri. - Gambar BERNAMA

KUALA TERENGGANU 2 Jun - Program tiga hari Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak turut melibatkan pembabitan Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut sama menampilkan kemahiran mereka dalam bidang kulinari.

 

Penampilan istimewa itu melibatkan pelajar program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri yang menunjukkan demonstrasi membuat roti dan pastri. 

 

Pengetua Cemerlang SMK Ibrahim Fikri, Zainon Awang berkata, pihak sekolah dan pelajarnya amat teruja kerana dapat mempamerkan kemahiran masing-masing kepada ribuan pengunjung yang hadir di jelajah AKM hari ini.

 

Beliau berkata, ia merupakan satu penghargaan kepada bakat pelajar OKU yang selama ini agak terpinggir disebabkan kekurangan yang tidak dipinta.

 

"Hari ini kita bawakan 10 pelajar tingkatan lima yang ada masalah pendengaran untuk menunjukkan kemahiran membuat roti dan piza yang mereka pelajari sejak dari tingkatan satu.

 

"Dari semalam lagi mereka dah bersiap sedia dan tak sabar-sabar untuk datang ke mari," katanya ketika ditemui pada jelajah AKM di Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.

 

Sementara itu, seorang pelajar, Danisya Ruzaki, 18, yang turut serta dalam demonstrasi itu berkata dia sangat teruja kerana dapat memeriahkan AKM kali ini, menurut Bernama.

 

"Saya sangat gembira dan puas hati apabila melihat pengunjung tersenyum merasa air tangan saya dan rakan-rakan.

 

"Saya harap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada golongan OKU tampil ke hadapan," katanya menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh gurunya. - DagangNews.com