Pelajar UiTM positif COVID-19 selepas didakwa hadiri majlis anjuran BN Melaka | DagangNews Skip to main content

Pelajar UiTM positif COVID-19 selepas didakwa hadiri majlis anjuran BN Melaka

Pelajar UiTM yang didakwa menghadiri program anjuran BN Melaka di Masjdi Tanah.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Seorang pelajar UiTM Lendu didapati positif COVID-19 selepas didakwa menghadiri sebuah program anjuran Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

 

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, ujian saringan diambil terhadap tujuh pelajar yang didakwa positif Covid-19 selepas menghadiri program tersebut.

 

“Semalam (kelmarin) dimakumkan ada tujuh orang menunjukkan simptom-simptom berkaitan. Keputusan ujian air liur mendapati seorang pelajar positif. 

 

“Seramai 40 orang disaring dan siasatan masih diteruskan. Buat masa sekarang UiTM akan mengasingkan pelajar-pelajar yang hadir ke program itu," katanya, lapor MalaysiaNow.

 

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan tujuh orang pelajar UiTM didapati positif COVID-19 selepas pulang daripada sebuah program dianjurkan BN Melaka pada 4 hingga 7 November.

 

“Semua pelajar tersebut pulang ke kampus pada 7 November lepas tamat program di Villa D Aqua, Masjid Tanah, Melaka.

 

“Bila pulang ke kampus, daripada berpuluh pelajar, tujuh didapati positif Covid-19,” menurut siaran media sosial itu.

 

Siaran itu turut menunjukkan gambar-gambar program berkenaan.

 

BN
Calon Barisan Nasional (BN) sewaktu hari penamaan calon bersempa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

 

Menurut siaran itu, pada 8 November penyokong-penyokong BN berkumpul di villa tersebut bersarapan pagi sebelum pergi ke pusat penamaan calon untuk mengiringi pengerusi Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

 

Turut hadir pada pagi itu ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memberikan sokongan kepada Rauf.

 

Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak BN gagal.-DagangNews.com