KUALA LUMPUR 17 Feb - Kerajaan memutuskan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara (National Robotics Roadmap atau NRR) dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan itu mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.
"Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) berkenaan Pemerkasaan Teknologi Baharu dan Pelaburan Ekonomi Digital Strategik Ke Arah Pendigitalan Negara Secara Holistik.
Ia yang diadakan buat kali pertama bagi tahun 2022 dihadiri oleh Menteri-Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi terlibat secara dalam talian.
Dalam mesyuarat itu, Ismail Sabri turut memaklumkan tentang kemajuan dan pencapaian beberapa inisiatif, antaranya Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Beliau berkata, sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan sebanyak 1,189 menara 4G baharu telah dibina dari September 2020 sehingga Disember 2021.
"Di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95% setakat 31 Disember 2021," katanya.
Beliau juga berkata, Digital Nasional Berhad (DNB) telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
Katanya, DNB juga menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36% liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun 2022.
Tambah beliau, melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac 2022 di seluruh Malaysia.
"Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat," katanya. - DagangNews.com