Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 gariskan 5 keutamaan bagi galakkan sistem kewangan negara | DagangNews Skip to main content

Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 gariskan 5 keutamaan bagi galakkan sistem kewangan negara

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menggariskan lima keutamaan bagi menggalakkan sistem kewangan menjamin pertumbuhan jangka panjang, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran bersama.

 

Pelan lima tahun itu juga merangkumi visi sektor kewangan untuk tangkas dan utuh bagi menyokong peralihan negara ke peringkat pembangunan selanjutnya.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ia mengenal pasti lima keutamaan yang akan memacu usaha bank pusat itu dengan kerjasama kerajaan, industri perniagaan dan enterpris sosial serta pemegang taruh lain untuk menggalakkan sistem kewangan yang akan menjamin pertumbuhan jangka panjang, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran bersama.

 

Lima keutamaan itu ialah:

  1. membiayai transformasi ekonomi Malaysia;
  2. 'meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan;
  3. memajukan pendigitalan sektor kewangan;
  4. meletakkan sistem kewangan untuk memudahkan dan peralihan teratur kepada ekonomi yang lebih hijau
  5. memajukan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam.

 

Katanya, industri kewangan berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan yang lebih kukuh dalam memimpin transformasi dan perubahan di peringkat industri.

 

"Dengan trend peralihan di sekeliling kita menjadi lebih ketara, kami komited untuk memupuk dinamik pasaran yang lebih besar untuk bertindak balas terhadap perubahan keperluan ekonomi dan masyarakat.

 

"Ini memerlukan lebih ramai peserta dalam sistem kewangan, beroperasi dalam parameter jelas yang menggalakkan persaingan dan inovasi sihat, di samping tingkah laku berhemat dan bertanggungjawab.

 

"Kami yakin bahawa tujuan kewangan adalah untuk memenuhi keperluan ekonomi benar, meningkatkan kehidupan dan mata pencarian. Akhirnya, perkhidmatan kewangan mesti membantu orang ramai dan perniagaan mengembangkan kekayaan mereka, terbabit dalam perdagangan dan membina daya tahan," katanya.


 

Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus
                                                                                 Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus

 


Beliau berkata demikian pada pelancran pelan induk itu di pameran digital, MyFintech Week 2022 (MyFW 2022), lapor Berita Harian. Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rangka tindakan sektor kewangan baharu akan kemudi cabaran, lengkapkan RMKe-12, kata Tengku Zafrul

 

Nor Shamsiah berkata, pelan induk itu juga akan menyelaraskan sektor kewangan dengan aspirasi negara untuk tidak hanya menjadi ekonomi nilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk laluan pembangunan yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

 

Beliau berkata, BNM akan terus berpegang teguh pada mandat monetari dan kestabilan kewangannya memandangkan pertumbuhan ekonomi yang mampan hanya boleh berlaku dalam konteks, yang mana kestabilan monetari dan kewangan terpelihara, dan integriti sistem kewangan terpelihara.

 

"Walaupun menghasilkan pelan induk ini memerlukan kerja keras, tugas yang lebih besar bagi kami ialah menjadikan visinya realiti. Ini memerlukan kita bekerja dan berfikir di luar kotak sebagai negara memasuki tahap pembangunan baharu.

 

"Ia adalah keinginan dan kepercayaan kami bahawa sektor kewangan akan terus memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat pada tahun-tahun akan datang, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang," katanya. - DagangNews.com