Pelan Pemulihan Negara 2.0 bakal dirangka libatkan semua pemegang taruh - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara 2.0 bakal dirangka libatkan semua pemegang taruh - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Putrajaya pada 10 Januari 2022.

 

 

PUTRAJAYA 10 Jan - Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN2.0) akan dirangka segera secara komprehensif dan inklusif melibatkan input daripada semua pemegang taruh, setelah semua negeri berjaya beralih ke fasa 4 menerusi PPN 1.0, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, PPN telah dirangka pada tahun 2021 sebagai satu panduan strategi keluar bagi membolehkan negara dibuka dengan selamat dan teratur.

 

''Alhamdullilah, semua negeri telah pun berjaya beralih ke fasa 4, maka Majlis berpandangan bahawa satu pelan pemulihan untuk fasa-fasa pemulihan seterusnya diperlukan.

 

''Oleh itu, Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN2.0) akan dirangka segera secara komprehensif dan inklusif melibatkan input daripada semua pemegang taruh termasuk pakar-pakar pelbagai bidang, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, Kerajaan Negeri, kementerian dan agensi sesuai menggunakan pendekatan Seluruh Negara (Whole of Nation approach).

 

''Insya-Allah dengan kerjasama semua, saya pasti PPN2.0 ini akan membolehkan Malaysia terus membangun secara mampan walaupun berhadapan dengan cabaran COVID-19,'' katanya dalam hantaran di facebook beliau selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini hari ini.

 

Turut hadir dalam mesyuarat hari ini ialah empat menteri kanan iaitu iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Mohd Radzi Jidin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof serta Menteri Kewangan Merangkap Menteri Penyelaras MPN, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.

 

Muhyiddin berkata, mesyuarat hari ini meneliti taklimat berhubung status terkini COVID-19 terutama situasi semasa varian Omicron dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) oleh Khairy Jamaluddin.


 

Muhyiddin

 

Muhyiddin

 


Bekas perdana menteri itu berkata, bencana banjir yang melanda negara ini turut memberi impak kepada proses pemulihan negara pasca COVID-19.

 

Katanya, majlis telah mendengar taklimat mengenai mekanisme pengurusan banjir Kerajaan Persekutuan oleh Datuk Dr. Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah NADMA dan juga meneliti pembentangan Datuk Michael Kang, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana berkenaan kesan bencana banjir ke atas PMKS serta cadangan bantuan pemulihan semula ke atas sektor tersebut.

 

Pandemik COVID-19 juga telah menjejaskan akitiviti perikanan negara serta bekalan ikan tempatan, kata Muhyiddin dan mesyuarat meneliti pembentangan Mohd Suffian Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia mengenai cabaran dan strategi pemulihan dan pemerkasaan sektor perikanan negara.

 

Sehubungan itu mesyuarat hari ini bersetuju untuk mengesyorkan perkara-perkara berikut:

  • Mengenai pembukaan semula sempadan antarabangsa, KKM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan perbincangan untuk meneliti, merancang dan mencadangkan langkah-langkah untuk membuka semula dengan segera dan selamat kepada MPN. Pembukaan sempadan negara sangat penting bagi menyokong proses pemulihan negara. Cadangan tersebut perlu merangkumi mekanisme kawalan penularan varian-varian baharu.

     
  • Bagi mangsa bencana banjir, NADMA perlu memastikan proses penyaluran bantuan Kerajaan dipermudah dan dipercepatkan. NADMA juga perlu membuat perancangan lebih awal bagi persiapan sebelum dan pasca banjir yang berlaku setiap tahun.

     
  • Bagi PMKS yang terkesan, SME Corp serta Persatuan PKS Malaysia perlu bekerjasama dalam menyediakan senarai yang terjejas kepada Kementerian Kewangan.
     
  • Berkenaan cabaran kekurangan tenaga kerja dalam subsektor perikanan laut dalam, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersama Kementerian Sumber Manusia dan KDN perlu memperhalusi langkah-langkah menangani isu tersebut yang semakin meruncing. - DagangNews.com