Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 usaha kembalikan impian asal perpaduan - PM Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 usaha kembalikan impian asal perpaduan - PM Ismail Sabri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) bergambar pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Kami @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama
 
 

KUALA LUMPUR 28 Nov -  Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 adalah usaha untuk mengembalikan semula impian asal mengenai perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsipprinsip yang terkandung dalamnya.

 

Sehubungan itu Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Menteri Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inkusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.

 

"Ini bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata kerana pelan tindakan ini merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting," katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian semasa melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 hari ini.

 

Lima teras strategik berkenaan:

Teras Strategik 1: Memelihara Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan

Teras Strategik 2: Membentuk Masyarakat yang Menghargai dan Mengamalkan Perpaduan

Teras Strategik 3: Memperkasakan Sosio-Ekonomi Yang Adil dan Saksama

Teras Strategik 4: Menjamin Keterbukaan dan Toleransi Terhadap Perbezaan Agama dan Tradisi Kebudayaan

Teras Strategik 5: Membina Masyarakat Progresif Melalui Sains, Teknologi dan Inovasi

 

Perdana Menteri berkata, pelan ini dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi. Ini mampu memanfaatkan Keluarga merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.

 

''Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar,'' kata Ismail Sabri.

 

Beliau berkata, kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan yang lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang kita perolehi seharian untuk membantuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama.

 

''Itulah harapan yang saya inginkan apabila berbicara tentang perpaduan semasa melancarkan Keluarga Malaysia di Sarawak pada pada 23 Oktober yang lalu,'' katanya.

 

Sementara itu, satu lagi pelan yang turut dilancarkan hari ini ialah pelan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang merupakan satu pelan yang paling signifikan kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam menerajui agenda perpaduan nasional.

 

Pelan yang Merakyatkan Perpaduan ini akan memberi tumpuan terhadap empat dimensi, atau nama ringkasnya KAMI iaitu K bermakna - KARIB; A - AKSESIBILITI; M -  MAJMUK dan I - INKLUSIVITI.

 

Menurut Perdana Menteri, pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

 

Ismail Sabri berkata, pendedahan ini juga adalah signifikan supaya masyarakat berlainan etnik dapat mengawal percakapan dan perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama serta budaya etnik lain sehingga sering menjadi pencetus reaksi negatif.

 

''Kita impikan kemakmuran bersama antara Keluarga Malaysia kerana ia merupakan asas kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara ini.

 

''Diharap Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan Keluarga Malaysia,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com