KUALA LUMPUR 30 Mac - Lembaga Tabung Haji menyambut baik insiatif penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio oleh Kerajaan Arab Saudi dalam penambahbaikan sistem imbasan pasport, imbasan muka dan cap jari
(biometrik) sebelum para jemaah haji dan Umrah Malaysia berlepas ke Tanah Suci.
Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, inovasi yang baik ini wajar diberi pujian kepada Kerajaan Arab Saudi, kerana aplikasi Saudi Visa Bio dapat mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen dan kastam serta menjimatkan masa ketika para jemaah haji tiba di negara berkenaan.
“Para jemaah hanya perlu memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio dalam telefon pintar masing-masing dan hanya perlu melakukan 4 langkah mudah iaitu melengkapkan alamat emel, imbasan pasport antarabangsa, imbasan muka dan imbasan 10 jari untuk muat naik informasi ke dalam sistem tersebut.
"Maklumat peribadi yang dimuat naik ke dalam aplikasi ini akan memudahkan lagi pergerakan masuk ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah tanpa perlu menunggu lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, usaha itu juga selari dengan inisiatif plan transformasi Tabung Haji iaitu Hijrah24, yang mana dalam rangka kerja teras haji usaha pendigitalan dalam pengurusan haji akan diberi penekanan.
“Rakyat Malaysia amat bertuah kerana Kerajaan Arab Saudi memilih Malaysia, antara negara yang terawal dalam melaksanakan projek perintis aplikasi ini dalam masa terdekat.
"Usaha penambahbaikan seumpama ini perlu diteruskan pada masa-masa hadapan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada para jemaah," tambahnya.
Bermula pada 2017, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang terpilih sebagai perintis bagi program Pra-Pelepasan Haji dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tabung Haji adalah badan kerajaan yang terus berusaha menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi keselesaan dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia. - DagangNews.com