Pelancaran baharu SP Setia dijangka lebih rendah daripada sasaran - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Pelancaran baharu SP Setia dijangka lebih rendah daripada sasaran - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Bergantung kepada keadaan pasaran, penganalisis tidak menolak kemungkinan pelancaran baharu oleh syarikat pemaju hartanah, SP Setia Berhad pada tahun kewangan 2021 (FY21) mungkin lebih rendah daripada sasaran awal iaitu RM3.7 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV).

 

Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan PKP Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan sejak Jun 2021, pembinaan dan jualan SP Setia mungkin terjejas, menurut penganalisis di CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng. 

 

“SP Setia sebaliknya tidak melihat penyerahan projek akan tertangguh buat masa ini. Ekoran galeri jualan tidak dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), SP Setia ketika ini berhubung dengan pembeli berpotensi menerusi inisiatif pemasaran digital dan acara maya. 

 

“Kumpulan juga menangguhkan beberapa pembukaan hotelnya pada 2022 hingga 2023 setelah mengambil kira sekatan perjalanan dan kes COVID-19 yang tinggi di peringkat global,” jelas Siew Teng dalam satu nota kajian.

 

Dalam satu perjumpaan CGS-CIMB dengan pihak pengurusan SP Setia baru-baru ini, Siew Teng berkata, kumpulan mengekalkan sasaran jualan pada tahun FY21 bernilai RM3.8 bilion, di mana mungkin disokong oleh jualan baharu RM1.1 bilion dan tempahan sekitar RM1.3 bilion yang diraih pada suku pertama tahun 2021 (1Q21).

 

Kumpulan juga mendedahkan bahawa momentum jualannya pada tempoh April hingga Mei 2021 agak kukuh. 

 

“Lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 1 Jun hingga 31 Disember 2021 (daripada 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021) adalah perkara positif buat pemaju, menurut pandangan kami, kerana ia dapat melonjakkan sentimen pembelian hartanah ketika kekurangan bekalan industri hartanah dan ‘lockdown’ di seluruh negara,” tambah beliau. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham SP Setia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.42 sesaham.

 

Mengambil kira penguatkuasaan PKP Penuh ketika ini, CGS-CIMB mengunjurkan perkembangan pembilan oleh kumpulan akan lebih perlahan daripada jangkaan, pelancaran projek baharu ditangguhkan dan sentimen pembeli lemah akibat pertumbuhan ekonomi perlahan.

 

Susulan itu, firma berkenaan menyemak turun unjuran perolehan sesaham (EPS) kumpulan pada FY22 hingga FY23 sebanyak 7% hingga 12% memandangkan pelancaran baharu dan hasil lebih kukuh SP Setia mungkin hanya dapat dilihat pada tempoh berkenaan. - DagangNews.com